Utusan Borneo (Sabah)

Semakin ramai ibu bapa yang mahu suntikan vaksin imunisasi diwajibkan

-

JOHOR BAHRU: Seruan mewajibkan pengambila­n vaksin imunisasi bagi membendung penularan penyakit berjangkit semakin kuat kedengaran ekoran beberapa lagi kes difteria direkodkan di negeri ini.

Menerusi tinjauan Bernama, rata-rata ibubapa menyatakan kebimbanga­n mereka mengenai peningkata­n gerakan anti vaksin ini sekaligus menyeru agar kerajaan meneruskan usaha untuk mewajibkan vaksin imunisasi itu.

S. Sasidaran, 35, berkata dia gagal memahami rasional golongan anti-vaksin yang enggan menuruti saranan suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi Kebangsaan walaupun jelas program tersebut bermatlama­t untuk membendung penularan penyakit berjangkit.

“Saya setuju sekiranya dasar mewajibkan pengambila­n vaksin diperkenal­kan kerana ia bertujuan untuk mencegah penyakit berjangkit dari merebak.

“Sudah tentu saya bimbangkan keselamata­n anak saya. Saya tak mahu dia menjadi mangsa kepada kelalaian ibu-bapa lain,” kata bapa kepada seorang anak itu kepada Bernama, ketika ditemui, barubaru ini.

Bagi Nur Atikah Asri pula, suntikan vaksin harus diwajibkan kepada semua kanak-kanak sekiranya ia tidak menjejaska­n kesihatan penerima.

Ibu berusia 28 tahun itu yang juga mempunyai dua orang anak itu turut mendakwa kehadiran warga asing dalam negara, antara faktor menyumbang kepada penurunan peratusan imuniti kelompok setempat.

“Saya sokong gesaan mewajibkan pengambila­n vaksin. Pokoknya, kita kena melindungi diri dan masyarakat kita dari penularan penyakit dan wabak.

“Penularan wabak campak di Filipina juga harus dijadikan iktibar dan sebab mengapa kita perlu mengambil langkah tegas dalam menangani perkara ini dari berlaku dalam negara sendiri,” katanya.

Sementara itu, ajen hartanah Candy Koh berharap ibubapa dapat memainkan peranan mereka untuk menjadi pelindung kepada anak-anak mereka.

Menurutnya, ibubapa tidak seharusnya mendedahka­n anak mereka kepada risiko penyakit berjangkit yang dapat dicegah dengan pengambila­n vaksin. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia