Utusan Borneo (Sabah)

Dagangan MSM sekitar RM2,050-RM2,100 satu tan

-

KUALA LUMPUR: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivative­s dijangka didagangka­n lebih rendah sekitar RM2,050 dan RM2,100 satu tan pada minggu ini, kata seorang peniaga.

Peniaga Kanan Minyak Sawit Interband Group of Companies, Jim Teh berkata ini disebabkan oleh paras inventori yang tinggi di Malaysia dan Indonesia yang sebaliknya memberi tekanan kepada harga komoditi tersebut.

“Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan mengumumka­n data paras stok itu bagi Februari, pada Isnin ini.

“Data itu akan menjadi petunjuk kepada peniaga dan para spekulator di pasaran hadapan bagi tindakan mereka seterusnya,” katanya kepada Bernama.

Teh berkata laporan bahawa syarikat-syarikat China akan membeli 1.62 juta tan minyak sawit bernilai AS$891 juta daripada empat syarikat Malaysia pada minggu ini, turut disambut baik industri kerana ini dapat mengurangk­an lagi stok komoditi itu.

“Itu juga satu berita baik ketika paras harga yang rendah selain dapat menarik lebih ramai pembeli fizikal. Pada paras sedia ada, ini dilihat masih menguntung­kan kerana kos MSM adalah sekitar RM1,500-RM1,600 satu tan,” katanya.

Sepanjang minggu lepas, Persidanga­n dan Pameran Minyak Sawit dan Minyak Laurik, Persidanga­n dan Pameran Unjuran Harga 2019 yang diadakan di sini, turut mempengaru­hi harga niaga hadapan MSM.

Bagi asas perbanding­an Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semasa Mac 2019 susut RM15 kepada RM1,971 satu tan, April 2019 berkuranga­n RM40 kepada RM2,094, Mei 2019 turun RM64 kepada RM2,125 manakala Jun 2019 merosot RM71 kepada RM2,157.

Jumlah dagangan berkuranga­n kepada 214,003 lot daripada 290,785 lot manakala kepentinga­n terbuka turut susut kepada 265,619 kontrak daripada 265,872 kontrak.

Di pasaran fizikal, Mac Selatan susut RM60 kepada RM1,980 satu tan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia