Utusan Borneo (Sabah)

Pecah cermin kereta rakan, pemasang khemah didenda RM3,000

-

PETALING JAYA: Seorang pemasang khemah dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin atas pertuduhan melakukan khianat dengan memecahkan cermin kereta rakannya, minggu lalu.

Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir menjatuhka­n hukuman itu terhadap Muhammad Aizat Sulaiman, 31, selepas dia mengaku bersalah melakukan khianat dengan memecahkan cermin kereta pacuan empat roda pada bahagian kiri milik D. Karunagara­n, 31.

Ketika ditanya Mohamad Ikhwan alasan dia memecahkan cermin kereta itu, bapa empat anak itu berkata dia berada dalam keadaan panik kerana tidak mempunyai wang untuk menyelesai­kan biaya hospital isterinya yang baharu sahaja bersalin.

Dalam kejadian itu, tertuduh mendakwa dia bertindak memecahkan cermin kerana ternampak sebuah dompet yang mempunyai beberapa keping not RM100 di dalamnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan PJU 5/10, Kota Damansara, di sini, pada 2.30 pagi, 5 Mac lalu mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Baizura Mohd Soubian memohon mahkamah menjatuhka­n hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh.

Bagaimanap­un, lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia merupakan penanggung utama keluarga dan telah insaf akan kesalahan yang dilakukann­ya. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia