Utusan Borneo (Sabah)

Umno Sabah diberi autonomi dalam masa terdekat

-

PUTATAN: Permintaan Umno Sabah untuk mendapatka­n autonomi daripada kepimpinan pusat parti itu dijangka akan diberikan dalam masa terdekat.

Timbalan Ketua Umno Sabah Datuk Yakub Khan berkata, dengan autonomi berkenaan, Umno Sabah akan mentadbir sendiri parti itu di negeri ini tanpa campur tangan daripada kepimpinan parti.

“Ia termasuk keputusan untuk memilih calon yang dikehendak­i parti itu pada pilihan raya umum akan datang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat cawangan Umno Putatan, di sini pada Sabtu.

Ditanya sama ada Umno Sabah akan bekerjasam­a dengan Parti Pas di Sabah, beliau berkata buat masa ini ia hanya berlaku di Semenanjun­g.

“Selepas kita menerima autonomi barulah kita bebas memilih rakan kita sebab buat masa ini kita tidak terikat dengan mana-mana parti seperti Umno di Semenanjun­g,” katanya.

Beliau berkata, di Sabah berlainan sedikit dan harus difahami bahawa rakyat di negeri ini terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, sebab itu Umno Sabah memerlukan autonomi untuk memenuhi landskap politik Sabah ketika ini.

“Keutamaan kami sekarang adalah untuk mengukuhka­n Umno di negeri ini. Selepas itu barulah kita akan fikirkan untuk bekerjasam­a dengan manamana parti mengikut kesesuaian,” katanya dan menambah, dakwaan bahawa Umno Sabah tidak lagi mendapat sokongan daripada rakyat adalah tidak benar.

“Daripada kehadiran yang dilihat hari ini, kita dapat menolak dakwaan itu. Mereka yang hadir pada hari ini hanyalah pemimpin cawangan tetapi mesyuarat ini dipenuhi perwakilan.

“Sistem parti ini bejalan seperti biasa dan kita percaya dan yakin para penyokong Umno di peringkat akar umbi masih setia kepada parti dan perjuangan­nya,” katanya.

Yakob berkata, pemimpin Umno Putatan kini dibarisi pemimpin lama serta muda merupakan kombinasi yang baik dan bersedia untuk mendekati rakyat.

“Saya yakin Umno Sabah akan terus wujud selama-lamanya dan saya menggesa ahli Umno khususnya di Putatan supaya terus maju ke hadapan dan terus berjuang untuk parti dan bekerja keras untuk merampas semula kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umun ke-15 (PRU15).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia