Utusan Borneo (Sabah)

Sekurang-kurangnya 19 anggota gabungan PBB terbunuh dalam nahas pesawat Ethiopian Airlines

-

PERTUBUHAN BANGSABANG­SA BERSATU (PBB): Sekurang-kurangnya 19 anggota gabungan PBB adalah di kalangan mereka yang terbunuh dalam nahas pesawat Ethiopian Airlines yang terhempas berhampira­n Addis Ababa pada Ahad, kata ketua agensi migrasi PBB.

Pihak berkuasa mengesahka­n kesemua 157 penumpang dan anak kapal terbunuh apabila pesawat Boeing 737 terhempas sejurus selepas berlepas dari Addis Ababa dalam penerbanga­n ke Nairobi, di mana persidanga­n PBB akan diadakan.

“Kenyataan awal adalah 19 kakitangan dari beberapa organisasi yang digabungka­n dengan PBB telah terkorban,” kata ketua Pertubuhan Antarabang­asa bagi Migrasi, Antonio Vitorino.

“Beberapa kakitangan lain dari sekurang-kurangnya lima organisasi gabungan dan PBB difahami turut terkorban,” katanya.

“Bersama dengan IOM, Program Makanan Sedunia (WFP), Agensi Pelarian PBB, Bank Dunia, Agensi Alam Sekitar PBB dan rakan sekerja lain yang terbunuh,” tambahnya.

Di kalangan kakitangan IOM di dalam pesawat adalah Anne Feigl, yang bertugas bagi misi agensi tersebut di Sudan.

Ketua misi Catherine Northing mengingati Feigl sebagai “seorang rakan setugas yang sangat bernilai dan kakitangan yang popular, komited dan profesiona­l.”

Sementara pengarah WFP David Beasley, yang mengesahka­n tujuh kakitangan­nya terbunuh, berkata: “Ketika kita berkabung, mari kita mengingati bahawa setiap seorang daripada rakan WFP ini sanggup pergi dan bekerja jauh dari rumah dan orang tersayang mereka bagi membantu menjadikan dunia ini sebuah tempat yang lebih baik untuk didiami.”

Dalam satu kenyataan, Pesuruhjay­a Tinggi PBB untuk Pelarian yang berpusat di Geneva, Filippo Grandi, tidak menyebut jumlah rakan sekerja di kalangan yang terkorban – namun berkata agensinya telah mengalami satu “kehilangan besar”.

Seorang sumber PBB pada mulanya berkata beberapa penterjema­h bahasa bebas dalam perjalanan ke persidanga­n PBB mengenai alam sekitar mungkin di kalangan yang terkorban.

Untuk menentukan jumlah sebenar kakitangan PBB di dalam pesawat adalah sukar kerana sebahagian telah memaklumka­n PBB mengenai rancangan perjalanan mereka sementara sebahagian lagi tidak, dan tidak semua yang menggunaka­n pasport PBB untuk perjalanan itu, jelas sumber tersebut.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menyatakan beliau berasa “sangat sedih dengan kehilangan nyawa yang tragik itu.”

“Beliau menyampaik­an rasa simpati dan perpaduan sepenuh hatinya kepada keluarga mangsa dan orang tersayang mereka, termasuk mereka yang merupakan anggota kakitangan PBB, di samping ucapan takziah seikhlas hati kepada kerajaan dan penduduk Ethiopia,” kata kenyataan itu.

“PBB telah berhubung dengan pihak berkuasa Ethiopia serta bekerjasam­a dengan mereka untuk mendapatka­n maklumat mengenai kakitangan PBB yang kehilangan nyawa mereka dalam tragedi itu.” — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia