Utusan Borneo (Sabah)

Tawaran diskaun 30 peratus rumah PR1MA Residensi Bintawa Riverfront sambut baik

-

KUCHING: Timbalan Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen menyambut baik tawaran diskaun sebanyak 30 peratus bagi rumah PR1MA Residensi Bintawa Riverfront di sini.

Dengan tawaran tersebut menurut Chong, pembeli menikmati penjimatan sekitar RM90,000 berbanding harga asal yang mencecah sehingga RM300,000 seunit.

“Selepas diskaun 10 peratus yang dipersetuj­ui antara para pemaju yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng sepanjang kempen pemilikan rumah (HOC) dari Januari hingga Jun ini, pemaju bagi PR1MA Residensi Bintawa Riverfront turut menawarkan rebat 20 peratus lagi menjadikan keseluruha­n diskaun adalah 30 peratus bagi projek ini.

“Kita menyambut baik tawaran ini tetapi di sebalik tawaran ini ada banyak persoalan yang timbul di mana kita dapati bahawa harga asal yang ditawarkan sebelum ini adalah terlampau tinggi.

“PR1MA yang diperkenal­kan kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah untuk rakyat berpendapa­tan rendah memiliki kediaman sendiri pada harga rendah.

“Tetapi seperti biasa, polisi mulia BN ini sering kali berserta dengan keuntungan untuk kroninya.

“Mereka menggunaka­n subsidi perumahan ini untuk meletakkan harga yang tidak masuk akal,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP di sini pada Ahad.

Tambah Chong, tawaran 30 peratus oleh pemaju ini tidak merugikan mereka dan mengapa mereka perlu menetapkan harga rumah PR1MA ini pada harga yang terlalu tinggi pada awalnya.

Para pemimpin Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) katanya, begitu ligat mempromosi­kan rumah PR1MA ini ketika harga tinggi dan sekarang harga diturunkan.

“Bukankah ini menipu pembeli? Kita amat bersimpati dengan pembeli awal rumah PR1MA ini yang telah terikat dengan syarat pembelian dan perlu membayar pada harga tinggi,” katanya.

Kerajaan PH menurut Chong, akan cuba yang terbaik untuk mendapatka­n penguranga­n dan rebat bagi para pembeli rumah khususnya melibatkan projek-projek kerajaan. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia