Utusan Borneo (Sabah)

Kejayaan, pencapaian wanita perlu diambil serius

-

MIRI: Kejayaan dan pencapaian seseorang wanita perlu diambil serius tanpa mengira warna kulit, kaum dan agama.

Anggota Jawatankua­sa Exco Wanita Kebangsaan PKR Zulhaidah Suboh berkata walaupun pelbagai kempen promosi dilakukan untuk menghentik­an keganasan terhadap wanita, malangnya di banyak negara termasuk Malaysia, golongan wanita perlu menguatkan diri dan memperkuku­h perpaduan.

“Justeru, marilah kita meraikan pencapaian dan kejayaan wanita serta berbangga dengan perjuangan keadilan jantina, wanita dan hak-hak sosial,” katanya pada sambutan Hari Wanita Sedunia bersama Ketua Wanita PKR Sarawak Nurhanim Mohsen di sini pada Ahad.

Seramai 31 wakil wanita PKR dari setiap cawangan di Sarawak menghadiri sambutan tersebut.

Zulhaidah turut menyeru semua wanita bekerjasam­a untuk kepentinga­n wanita dan pasangan lelaki mereka dengan bangga dan bermaruah.

Sempena 8 Mac iaitu Hari Wanita Sedunia, beliau turut mengambil kesempatan meraikan bersama dan berbangga dengan pencapaian wanita dalam pelbagai aspek seperti budaya, sosial, ekonomi dan politik.

“Ketika kita bergerak maju, jangan lupa ada ribuan wanita tidak dapat menyertai perjalanan kita.

“Kita mesti ingat majoriti wanita menghadapi kesukaran dan berjuang untuk hidup khasnya ibu tunggal dan golongan kurang bernasib baik menghadapi masalah memenuhi keperluan hidup,” jelasnya.

Ketua Wanita PKR Sibuti itu berkata, pekerja wanita menghadapi masalah jangka panjang dan upah yang rendah serta perlu menangani kesan traumatik serangan seksual dan keganasan rumah tangga.

Beliau mendedahka­n, golongan wanita berdepan dengan pelbagai tafsiran dalam kehidupan dari segi agama, moral dan hukuman tidak adil namun sebaliknya, beliau amat mengagumi wanita peribumi menghadapi kemusnahan tanah dan hilangnya hak tanah nenek moyang, kebudayaan dan mata pencarian.

Katanya, golongan wanita pelarian mencari perlindung­an dan keselamata­n untuk diri mereka sendiri dan keluarga, kebebasan dan penghormat­an, diperdagan­gkan dan kurang upaya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia