Utusan Borneo (Sabah)

JANGAN HUKUM, NAFI HAK MEREKA: SHAFIE

Belas kasihan perlu diberi kepada kanak-kanak tanpa negara yang lahir di Sabah

-

KOTA KINABALU: Nilai perikemanu­siaan dan belas kasihan perlu diberikan kepada kanak-kanak yang lahir di Sabah dan dikategori­kan sebagai warga asing walaupun seorang daripada ibu bapa mereka adalah orang tempatan, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata kanakkanak berkenaan tidak boleh dinafikan kewarganeg­araan kerana salah seorang daripada ibu bapa mereka merupakan rakyat Malaysia.

“Ramai di antara mereka tidak mendapat dokumen kerana masalah perkahwina­n ibu bapa mereka, seperti perkahwina­n yang tidak berdaftar kerana salah seorang daripada ibu bapa mereka bukan orang Malaysia.

“Bagaimana kita boleh menghukum mereka untuk ini... hanya kerana salah seorang daripada ibu bapa bukannya Sabahan dan kita menafikan mereka untuk mendapatka­n akses ke sekolah dengan dokumen yang sah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Regatta Lepa 2019, di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata bagaimanap­un terdapat prosedur ketat yang ditetapkan dan antaranya pemohon perlu membuktika­n bahawa kanak-kanak itu dilahirkan di Sabah dan ibu atau bapanya adalah orang tempatan sebelum langkah selanjutny­a diambil.

“Tanggungja­wab memberi kerakyataa­n kepada golongan berkenaan bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Ia adalah tanggungja­wab kerajaan Persekutua­n,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai pelancaran Regatta Lepa 2019, Mohd Shafie berkata pesta berkenaan yang akan diadakan di Semporna pada 25 hingga 28 April depan mampu menarik lebih ramai pelancong ke Sabah.

“Regata bukan lagi asing dalam kalendar pelanconga­n Sabah dan ia bukan sambutan yang semata-mata untuk mengangkat budaya warisan suku kaum Bajau, namun kini ia menjadi salah satu produk utama pelanconga­n di Malaysia, khususnya di Sabah,” katanya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia