Utusan Borneo (Sabah)

Masuk secara haram: Lima lelaki warga asing kena penjara, sebat

-

KOTA KINABALU: Lima lelaki warga asing dan salah seorang mendakwa dirinya sebagai warga negara dikenakan penjara dan sebat, atas kesalahan memasuki negara ini secara haram.

Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz menjatuhka­n hukuman itu terhadap Mudi Mulsad, Adzhar Renhal, Chrisaldo Madina, Jan Aharin Stakin dan Jaharan Abu Bakar selepas mereka mengaku salah.

Mereka disabitkan mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara selama lima tahun dan sebat.

Mudi dikenakan penjara tujuh bulan, Adzhar dan Jaharan masing-masing penjara lima bulan, manakala Chrisaldo dan Jam Aharin penjara selama empat bulan.

Mereka juga diperintah­kan dikenakan satu sebatan rotan.

Terdahulu, Mudi yang berusia 43 tahun mendakwa dirinya seorang warganegar­a dan mempunyai sijil lahir, namun sijil lahir berkenaan menyatakan sebaliknya.

Tertuduh juga pernah membuat permohonan MyPR tetapi ditolak Jabatan Pendaftara­n Negara (JPN) Putrajaya.

Ketika disoal mahkamah, tertuduh mengaku sudah menetap di negara ini melebihi tempoh 40 tahun.

Mudi ditahan pihak berkuasa pada 9 September tahun lalu di daerah Papar, sementara tertuduh yang lain ditangkap antara 13 Januari hingga 9 Mac di tempat yang berbeza.

Selain itu, Mudi pernah disabitkan dengan kesalahan melakukan ugutan jenayah dan menggunaka­n dadah.

Semasa rayuan, semua tertuduh memohon hukuman mereka diringanka­n dan segera dihantar pulang ke negara asal, namun Pegawai Pendakwa ASP Sabrina Jinius meminta hukuman setimpal dikenakan.

Azreena memerintah­kan kelima-lima tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut, setelah tamat tempoh pemenjaraa­n.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia