Utusan Borneo (Sabah)

Pertemuan Dengan Huminodun

- GLOSARI: Bahasa KadazanDus­un ke bahasa Melayu

AKU duduk sambil merenung Gunung Kinabalu, dingin udara di kawasan pergununga­n begitu menggigit sehingga sampai ke dalam tulang-temulangku. Aku memeluk tubuh dan menarik selendang tebal yang tersangkut di tepi jendela.

‘Ah, memang kampungku aman, jauh dari pencemaran dan debu-debu kota,’ bisik hatiku. Tergamit juga perasaan sesalku kerana banyak bukit sudah ditebus-guna. Namun demi kemajuan, semua harus berubah. Alam semula jadi itu terpaksa dibotakkan kerana pembanguna­n dan sumber ekonomi, walau ada penyalahgu­naan merosakkan alam semula jadi kerana kerasukan nafsu dan bertuhanka­n kuasa dan wang!

Namun, fikiranku yang bergentaya­ngan sebenarnya bukan kerana hutan simpanan itu sudah mula diteroka, atau kerakusan manusia yang mementingk­an kekayaan tanpa memikirkan akibat yang bakal dihadapi nanti. Aku yang baru bangun dan terkejut dari mimpiku, seakan belum bangun sepenuhnya, masih mamaimamai. Aku seperti masih merasakan dakapan Huminodun yang menemuiku semalam. Wanita yang berpakaian serba hitam, bersanggul dan sanggulnya terselit bunga putih dan cucuk sanggul dari kayu yang diukir halus. Di bahunya sehelai sunduk hitam yang terlepas dari kepalanya. Dia seperti bidadari

rumandawi yang turun dari puncak Nabalu. Aku kebinggung­an apakah kerana menentang permintaan nenek membuat Huminodun menjelma dalam mimpiku?

Lagi tiga bulan pesta Tadau Kaamatan akan tiba, aku baru sahaja tamat kuliahku. Selama lima tahun aku berada di Kuala Lumpur untuk meneruskan pengajiank­u. Sementara menunggu panggilan untuk bekerja aku kembali ke kampung. Rumah ibu bapaku masih utuh walau mereka berdua sudah pergi meninggalk­an aku, ketika aku masih belasan tahun. Ayah dan ibu meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Bas yang mereka naiki 10 tahun lalu bertembung dengan lori yang membawa kayu balak dan menyebabka­n bas itu jatuh ke dalam gaung. Tinggallah aku yang ketika itu baru berusia tiga belas tahun hidup bersama nenek, ibu kepada ayahku.

“Kau harus belajar rajin-rajin Kim, jangan ingat mau kawin awal,” ujar nenek padaku. Aku tidak tahu kenapa nenek tidak menggalakk­an aku berkahwin awal seperti kebanyakan ibu-ibu di kampung kami. Tetapi sekarang ketika usiaku sudah 22 tahun, nenek sudah semakin risau. Nenek tidak mahu aku menjadi anak dara tua.

“Kimberly, kau sudah habis belajar, kau mesti kawin, kalau sudah berumur siapa mahu kau lagi,” kata nenek.

“Alaaaa.. nenek jangan susah pasal kawin, Kim belum mau kawin, Kim mau kerja dulu,” jawabku. Namun jawapanku membuat nenek semakin resah. Berbagai alasan dia berikan supaya aku cepat-cepat mencari jodoh. Aku akan tertawa setiap kali nenek berkata begitu.

“Nek, kalau jodoh ada juga tu nanti,” jelasku sambal tersenyum. Dalam hatiku kalau aku ingin sangat berkahwin, aku boleh menyuruh Kamal meminangku sekarang juga. Tetapi hatiku belum terbuka untuk menjadi suri rumah tangga. Aku mahu mengejar impianku, kerjayaku. Terdetik dalam hatiku, andai Kamal datang dan meminangku, pasti nenek menolaknya. Nenek yang begitu tebal dengan kepercayaa­nnya bahawa keturunann­ya harus berkahwin dengan pasangan yang datang dari suku kaum yang sama bukan dari luar apa lagi dari luar negeri! Nenek pasti tidak mahu menerima Kamal.

“Nah Tadau Kaamatan tidak lama lagi Kim, kau ikut pertanding­an Unduk Ngadau ya,” kata nenek padaku ketika aku duduk bersamanya dua hari lalu. Nenek sedang menjemur padi dan aku membantuny­a memasukkan padi ke dalam karung guni untuk dibawa ke kilang pengisar padi.

“Ehh..tidak mahu nek, Kim malu,” jawabku sambil mengerutka­n dahi. Aku tahu nenekku memang seorang wanita yang keras hati. Sejak dahulu bukan senang untuk membuat keputusan sendiri. Semua harus ada persetujua­n darinya. Aku sebagai satu-satu cucu yang dia ada, terpaksa menurut perintahny­a. Apa lagi dialah yang memelihara­ku selepas kematian ayah dan ibuku.

“Kim tidak mahu nek, bikin malu saja, Kim bukan cantik,” jawabku lagi.

“Bodoh bah kau ni Kim, sekarang bukan perlu cantik saja, tapi mesti pandai,” jawab nenek lagi. Walau nenek jauh beratus batu dari bandar, dia tetap peka dengan perubahan. Andai nenekku ada pelajaran dia pasti menjawat jawatan yang baik, fikirku.

“Tidak mahulah nek,” tingkahku lagi. Nenek terus berleter dan mula mengungkit kisah-kisah lalu. Mengungkit mitos-mitos cerita lalu. Betapa katanya pengorbana­n Huminodun itu tidak dihormati sekarang. Unduk Ngadau itu bererti satu kepercayaa­n yang menghargai pengorbana­n Huminodun yang telah sanggup berkorban untuk manusia kerana tiada makanan. Kerana kemarau berpanjang­an rakyat jelata kelaparan dan hanya dengan mengorbank­an seorang gadis akan dapat menyelamat­kan dunia dari kebuluran dan Huminodun anak Kinoringan dan Suminundu terpaksa menerima permintaan anak perempuann­ya Huminodun untuk dikorbanka­n demi kesejahter­aan dunia dan manusia. Agar dunia menjadi subur dan menghijau kembali.

Begitulah kebiasaann­ya suku kaum kadazandus­un memperinga­ti pengorbana­n Huminodun dan gadisgadis akan bertanding dan antara mereka siapa yang tercantik akan menjadi Unduk Ngadau dan kononnya dengan itu juga hasil pertanian akan lebih baik dan subur.

“Kau mesti ikut Kim, kau cantik dan terpelajar,” kata nenek lagi.

Aku sebenarnya tidak suka dengan pertanding­an kecantikan itu. Aku sering terlihat, gadis-gadis yang sudah mengikuti pertanding­an ratu cantik menjadi angkuh dan sombong. Apa lagi yang mendapat tempat teratas, Dia antara barisan puluhan yang tercantik. Ego mereka semakin tinggi. Hidung mereka semakin mancung.

“Terserahla­h kepada individu itu kalau dia mahu mengambil kesempatan,” kata Irene anak ketua kampung yang memang terkenal dengan kecantikan­nya dan sering memenangi pertanding­an ratu cantik di kampung namun gagal menjadi Unduk Ngadau di peringkat akhir. Mengikutny­a kegagalann­ya di peringkat akhir adalah masa sesi soal jawab, dia gementar dan tidak dapat menjawab dengan betul dan dia kehilangan markah di situ. Benar kata nenek, Unduk Ngadau bukan hanya berwajah cantik tetapi mempunyai otak yang baik. Konfiden dan berpengeta­huan selain dalam bidang akedemik.

“Kau mesti ikut Kim, kau terpelajar dan cantik, pasti kau dapat jawab semua soalan yang disediakan oleh juri-juri,” kata irene padaku.

“Kalau kau menang, kau boleh bantu kampung kita,” jelas Irene lagi.

“Itulah cita-citaku Kim, banyak yang kita boleh kemukakan, pembanguna­n di kampung-kampung kita dan peluang untuk usahawan wanita kampung kita,” jelas Irene.

Begitu luhur hati Irene yang memberitah­uku bahawa sebagai ketua kampung, ayahnya banyak cadangan dan cadangan sudah sampai ke pengetahua­n ahli parlimen yang diundi oleh orang orang di pekan itu namun terlalu susah untuk mendapatka­n apa yang mereka mahu untuk kampung mereka. Mengikut Irene sebagai Unduk Ngadau mereka sebagai duta yang boleh bersuara juga. Mendengar kata-kata Irene, membuat aku terfikir, benarkah Unduk Ngadau dapat membantu memperbaik­i nasib warga kampungnya?

Aku cuma tersenyum, seperti yang sering aku katakan pada nenek, aku bukan wanita yang mahu mencari glamor dari kecantikan, dari gelaran Unduk Ngadau. Aku bukan jenis wanita seperti itu. Lelaki juga akan takut untuk mendekati kerana merasakan Unduk Ngadau itu high maintenanc­e! Mahal

nopung dan balanja hangusnya. Sedang Kamal selalu berkata, kenapa gadis Kadazan Dusun terlalu mahal kalau mahu dinikahi. Aku tersenyum sendiri.

Penolakank­u membuat nenek kecewa dan dia tidak bercakap sepatah pun dan langsung tidak makan masakan yang aku hidangkan. Nenek mangaus dan malam itu aku tidur dengan hati yang berat. Aku sedih kerana membuatkan hati nenek sakit. Aku sedih kerana tidak memberi kebahagiaa­n pada nenek yang telah menjagaku dari kecil dahulu. Nenek yang sering mengutamak­an pelajarank­u dan sanggup pergi sendiri berhuma, bercucuk tanam dan membiarkan aku di rumah untuk belajar. Nenek yang sering menghiburk­an aku ketika malammalam yang sunyi ketika merindui ayah dan ibu dengan cerita-cerita rakyat yang penuh dengan pengajaran dan kasih sayang. Kini aku telah menyakiti hatinya.

Ketika terasa tubuhku terlalu dingin, aku menarik selimut, air mataku mengalir, aku sedih kerana nenek merajuk. Terasa kain selimut yang lusuh itu begitu lembut dan nyaman sekali. Seolah-olah aku diselimuti oleh kain sutera yang halus dan dapat menghangat­kan tubuhku yang kesejukan. Langsir di tingkap menari-nari dibuai angin malam. Aku merasa nenekku datang menyentuh kepalaku dan aku terus berpusing dan memandang wajahnya. Betapa aku ingin memeluknya dan mememohon keamaafan darinya.

Ketika aku berpaling dan cuba memandang wajahnya, seperti ada cahaya bersinar di belakang nenek, aku amati wajahnya tetapi yang datang rupanya bukan nenek tetapi seorang wanita cantik. Aku terkejut dan terus bangun dari perbaringa­nku.

“Jangan takut Kimberly, aku Huminodun, gadis sepertimu juga,” kata wanita cantik itu.

“Wanita harus terus berkorban demi kebahagian orang lain,” katanya.

Dalam hatiku bertanya siapakah wanita yang berteka-teki itu. Aku terus merenung wajahnya, melihat kecantikan dan aura ketenangan dari wajahnya membuat aku menarik nafas panjang dan merasakan ada keamanan dan keberanian bertapak di jiwaku.

“Kecantikan bermula dari dalam jiwa kita dik, andai kita ikhlas, keikhlasan itu tertera di wajah kita,” begitu katanya dan dia memanggil aku adik.

“Seperti aku berkorban untuk kesejahter­aan kaum kita, begitu juga kau Kim, kau harus berkorban,” sambungnya sambal duduk menghampir­iku dan memeluk bahuku. Selepas bercerita denganku, dia berdiri dan memohon diri untuk pergi.

Aku memanggiln­ya kerana aku belum tahu apa erti kata-katanya namun dia terus melambai dan pergi. Aku bangun cuba mengejarny­a dan cuma dapat menarik kain hitam,

sunduknya. Aku terkejut dari tidur, rupanya aku bermimpi dan sunduknya yang aku tarik tadi adalah hujung selimutku.

‘Huh! bermimpi pula,’ bentak hatiku. Tetapi aku merasakan semua itu seperti benar-benar berlaku, wangi harumnya seperti wangi parai

tidong masih terhidu di hidungku. Ah! Apakah dia benar-benar Huminodun? Yang merelakan dirinya menjadi korban dan seluruh tubuhnya bertukar menjadi makanan dan darahnyany­a menghijauk­an tanah yang kering kontang itu?

Teringat cerita rakyat yang nenek ceritakan tentang seorang gadis bernama Ponompuan di namakan sebagai Huminodun yang bererti ‘yang dikorbanka­n’. Ponompuan yang berkata sebelum dikorbanka­n bahawa tubuhnya akan bertukar menjadi padi dan makanan untuk manusia agar manusia tidak akan kelaparan lagi. Untuk menghormat­i pengorbana­nnya, sebelum memulakan penuaian padi, tujuh batang padi mestilah diambil dan diikat pada sebatang kayu dan selepas siap menuai, tujuh batang padi tadi dibawa ke Tangkob. Pesan Huminodun jangan ada padi yang disia-siakan kerana itu adalah rezeki yang berharga. Itulah pengorbana­n dan permintaan Huminodun dan setiap tahun pesta menuai disambut untuk menghormat­i Huminodun dan Unduk Ngadau itu adalah mewakili Huminodun seorang wanita yang cantik, tulus, bijak, bersopan, tabah dan berwawasan.

Apakah hadirnya Huminodun semalam, Unduk Ngadau atau Ponompuan untuk memujukku menyertai pertanding­an ratu cantik-Unduk Ngadau demi untuk memperinga­ti pengorbana­n seorang perempuan kepada manusia?

Aku masih duduk mengadap Gunung Kinabalu dalam kedinginan mengigit tulang temulangku dan dalam hatiku, nekad, aku akan mengikut permintaan nenekku. Humidon pasti tersenyum melihatku. Kalah menang tidak penting. Yang penting aku memberi kebahagian pada nenek dan pada Huminodun. Sunduk ~ Tudung/kerudung Nopung ~ Berian/ Hantaran kahwin Balanja hangus ~ Hantaran yang digunakan untuk perbelanja­an majlis perkahwina­n Parai Tidong ~ Padi Bukit Mangaus ~ merajuk Tangkob ~ Tempat penyimpana­n padi Rumandawi ~ Kayangan

 ??  ?? Sekadar Gambar Hiasan
Sekadar Gambar Hiasan
 ??  ?? Karya KATHIRINA SUSANNA TATI
Karya KATHIRINA SUSANNA TATI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia