Utusan Borneo (Sabah)

Malaysia perlukan 200 pakar neurologi untuk rawat pesakit strok

-

GEORGE TOWN: Malaysia memerlukan 200 lagi pakar neurologi untuk memastikan jumlah pesakit strok yang kian meningkat akan mendapat rawatan yang secukupnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata seramai 92 pesakit strok dimasukkan ke hospital setiap hari dan kini negara hanya mempunyai 107 pakar neurologi.

Menurutnya, Kementeria­n Kesihatan mempunyai 50 pakar dan pelatih neurologi, universiti mempunyai 33 pakar dan pelatih neurologi manakala seramai 24 pakar neurologi adalah daripada sektor swasta.

“Secara keseluruha­n, 107 (pakar) neurologi memang tidak mencukupi untuk memberikan perkhidmat­an kepada jumlah kes strok yang besar dan kita perlukan 200 pakar neurologi lagi tetapi bukan hanya tertumpu di hospital besar tetapi juga hospital-hospital lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidanga­n Strok Malaysia yang pertama di sini pada Sabtu.

Tambahnya, rekod pada 2016 menunjukka­n bahawa seramai 33,812 pesakit strok dimasukkan ke hospital dengan kos implikasi kepada kementeria­n adalah sebanyak RM180 juta.

Bagaimanap­un, beliau berkata sasaran itu mungkin hanya akan tercapai dalam tempoh empat hingga enam tahun lagi kerana untuk melatih pakar neurologi ini mengambil masa yang panjang.

Katanya, pada masa ini, kementeria­n mengambil langkah mengembang tenaga kepakaran dalam bidang lain yang sedia ada dan bukan hanya tertumpu kepada pakar neurologi untuk menangani pesakit strok.

“Contohnya, sekiranya ada kes strok, pakar kecemasan boleh memberikan rawatan awal perkhidmat­an strok di situ dulu sebelum pesakit dirujukkan kepada pakar neurologi.

“Sekarang ini perkhidmat­an kita ‘cut across horizontal’, bukan lagi ‘vertical’ yang tertumpu kepada neurologi sahaja, tetapi kita juga perkasakan pakar-pakar dalam bidang lain seperti klinik kesihatan, pakar perubatan keluarga, pakar kecemasan dan pakar perubatan am dalam membawa mereka bersama dalam rawatan pesakit strok,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata setakat ini, semua hospital di seluruh negeri mempunyai pakar neurologi kecuali Kedah dan Perlis yang mana mereka akan dibekal tidak lama lagi.-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia