Utusan Borneo (Sabah)

Doktor pakar Ebola di DRC dibunuh

Dr Mouzoko ditembak mati dalam serangan ke atas hospital di bandar timur Butembo

-

BUTEMBO: Seorang doktor pakar yang memerangi wabak ebola di Republik Demokratik Congo (DRC) ditembak mati kelmarin dalam satu serangan ke atas sebuah hospital di bandar timur Butembo, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

WHO berkata, Dr Richard Valery Mouzoko Kiboung, pakar epidemiolo­gi yang dikerahkan­nya untuk membantu membendung watak Ebola, maut dalam serangan ke atas Hospital Universiti Butembo.

Dua lagi mangsa cedera tetapi dipercayai dalam keadaan stabil, katanya.

Serangan itu merupakan yang terbaharu dalam siri serangan ke atas pasukan yang menangani wabak Ebola yang merebak sejak hampir sembilan bulan lalu dan sudah meragut kira-kira 850 nyawa.

“Saya dan seluruh WHO amat bersedih dengan kehilangan rakan sekerja dan saudara kami Dr Mouzoko,” ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesu­s menyebut dalam satu kenyataan.

“Beliau meletakkan diri di barisan hadapan untuk menyelamat­kan nyawa di Republik Demokratik Congo,” katanya, dan menambah “kita bersedih bersama keluarga dan rakannya pada waktu yang amat sukar ini”.

Pegawai tempatan dan polis berkata. mangsa merupakan warga Cameroon.

“Serangan itu berlaku di Hospital Klinik Universiti Butembo,” kata Datuk Bandar Butembo Sylvain Kanyamanda.

“Pasukan tindakan (Ebola) ketika itu sedang mengadakan mesyuarat.

“Anggota militia Mai-Mai bersenjata tiba dan menembak orang.

“Seorang doktor yang merupakan pakar epidemiolo­gi ditembak dan dibawa ke bilik kecemasan.

“Rakan sejawatann­ya cedera.

“Doktor itu, seorang warga Cameroon, kemudian meninggal dunia,” kata Kanyamanda.

Tedros berkata, pembunuhan Mouzoko merupakan peringatan tragik risiko yang diambil pekerja kesihatan untuk melindungi nyawa dan kesihatan orang lain.

“Kami berang dengan serangan ini, pekerja kesihatan dan kemudahan kesihatan tidak boleh dijadikan sasaran,” tegasnya.

Ketua Pengarah WHO itu berkata, agensinya kini menilai situasi keselamata­n untuk memastikan keselamata­n semua pesakit, pekerja kesihatan dan responder Ebola.

“Pada waktu yang sama, kami masih komited untuk terus menyokong Kementeria­n Kesihatan DRC bagi menamatkan wabak ini secepat mungkin,” katanya.

DRC mengisytih­arkan wabak ke-10 Ebola dalam tempoh 40 tahun pada Ogos lalu di wilayah timur laut Kivu Utara sebelum virus itu merebak ke wilayah jiran Ituri.

Pusat wabak pertama kali dikesan dalam kawasan luar bandar Mangina, kemudian beralih ke bandar Beni.

Pertubuhan tempatan berkata, jumlah kematian Ebola semakin meningkat.

Statistik yang dikemas kini kementeria­n kesihatan Rabu lepas menyebut 843 kematian telah dicatatkan.

Data WHO pada 9 April menganggar­kan jumlah kes yang disahkan atau berpotensi adalah sebanyak 1,186, di mana 751 berakhir dengan kematian.

Wabak itu merupakan wabak kedua paling berdarah dalam rekod, selepas wabak di Afrika Barat pada 2014-2016 yang mengorbank­an lebih 11,300 orang.

Usaha untuk mengawal demam berdarah yang amat berjangkit itu di DRC dihambat peperangan, selain tentangan dalam masyarakat terhadap langkah pencegahan, kemudahan penjagaan dan pengebumia­n selamat.

Pada 9 Mac lalu, serangan ke atas sebuah pusat rawatan di Butembo mengorbank­an seorang anggota polis dan mencederak­an seorang pekerja kesihatan.

Ia merupakan serangan ketiga ke atas pusat itu.

Pada 24 Februari lalu, sebuah pusat rawatan di Katwa telah dibakar.

Pada 12 April, Jawatankua­sa Kecemasan WHO, dalam semakan baharu ke atas wabak itu, menentukan situasi di DRC menimbulka­n kecemasan kesihatan awam yang boleh membimbang­kan masyarakat antarabang­sa, status yang memulakan tindak balas global secara besar-besaran.

Negara-negara jiran Rwanda dan Uganda, yang bimbang mengenai wabak itu, sudah mula menyuntik pekerja kesihatan dengan vaksin.

Lebih 102,000 orang sudah menerima vaksin Ebola baharu di DRC. — AFP

 ??  ?? GAMBAR fail 26 Mac lalu menunjukka­n keadaan di pusat perlindung­an Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) yang turut menempati pusat rawatan Ebola di Butembo. — Gambar Reuters
GAMBAR fail 26 Mac lalu menunjukka­n keadaan di pusat perlindung­an Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) yang turut menempati pusat rawatan Ebola di Butembo. — Gambar Reuters

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia