Utusan Borneo (Sabah)

Kek Dari Penjara

-

DALAM kurungan besi ini, aku tidak dapat melihat keindahan kota metropolit­an. Aku tidak dapat menghitung bintang di langit malam. Aku tidak dapat menikmati cahaya mentari yang menerangi alam. Segala yang aku tatap saban hari hanyalah dinding hitam dengan petak jeriji besi. Sunyi. Sepi. Hanya aku dan dinding ini.

Jika diberikan peluang, aku hanya ingin keluar. Jiwaku meronta inginkan kebebasan. Setiap malam aku dihantui oleh kejamnya dosa-dosa silam. Seram dan suram. Aku terdiam. Kurungan ini bagaikan petak hukuman atau sebuah lambang kesengsara­an. Mungkin juga simbolik kepada segunung penyesalan. Rumah yang khilaf, dihuni oleh aku yang ingin bebas.

Meski penghuniny­a khilaf, tapi kurungan ini bukan jijik. Aku juga manusia atau bakal mantan pendosa. Setiap hari aku berdoa tanpa henti, merayu dan bersujud pada Ilahi. Aku memohon agar Dia mengampunk­an kekhilafan­ku di bumi ini. Terkurung dalam tempat ini bukanlah apa yang aku ingini. Aku menyesal.

Di sini, empat dinding menjadi dua mata yang menyaksika­n segala perbuatan manusia. Ketika aku berbaring lena, tilam menjadi telinga yang mendengar degup nadi dan bicara hati. Bila aku berdiri, lantai menjadi dua tangan; menampung beban dari tubuhku yang disaluti debu-debu dosa. Ya, aku tidak sendirian di sini. Aku ditemani dinding, tilam dan lantai yang tidak pernah bosan menjadi temanku.

Sudah genap tujuh bulan sejak aku ditahan dan dikurung dalam tempat ini. Sepanjang tempoh itu juga, aku tidak pernah menerima lawatan daripada darah dagingku sendiri. Aku seperti seorang pendosa yang dihukum masuk ke dalam neraka oleh manusia. Manusia bagaikan Tuhan yang sesuka hati menghukum aku. Kesannya, aku jadi sebatang kara dalam sekelip mata.

Sebenarnya aku dikurung di tempat ini tanpa bicara. Aku terpaksa menerima tuduhan yang tidak aku lakukan. Dunia pada hari ini sangat kejam. Manusia hidup berkiblatk­an wang. Hanya kerana aku seorang marhaen, aku dijadikan kambing hitam. Akhirnya, aku jatuh dan terperosok ke dalam lubang kebatilan. Mahu menentang, mulut dibungkam. Jadi aku memilih untuk menerima hukuman tanpa keadilan yang sewajarnya. Ya, memang kejam! “Bangun!” Lamunanku terhenti. Aku segera mengangkat muka dan memandang ke atas. Seorang wanita yang lengkap berpakaian seragam sedang berdiri di sebalik jeriji besi ini. Aku segera bangun dari pembaringa­nku. Segaris senyuman tipis terukir di bibirku untuk pegawai penjara itu. Dia membalas senyumanku dengan anggukan.

Aku menuruti langkah pegawai penjara tadi menyusuri laluan yang cukup sunyi. Beberapa pasang mata mula memerhatik­an setiap langkahku. Aku memandang terus ke hadapan tanpa mahu menoleh ke kiri atau kanan, bertentang mata dengan banduan lain.

Aku melajukan langkah, mengikuti rentak kaki pegawai penjara yang membawaku. Tanpa perlu bertanya, aku sudah tahu ke mana arah tujuan kami. Sudah menjadi tugas harianku untuk menjalani latihan sebagai seorang banduan. Aku cukup bernasib baik kerana dipilih untuk belajar asas penyediaan manisan iaitu kek. Itu adalah hobi waktu kecilku. Aku tersengih mengenangk­an kenangan lalu.

“Hari ini kau akan diajar membuat kek coklat,” pegawai penjara itu berkata dengan tegas. Aku mengangguk faham. Selepas itu, kedua belah tanganku pun dibebaskan dari gari. Aku boleh melakukan apa saja di dapur ini dengan pengawasan beberapa orang pegawai lain. Walaupun gembira dapat belajar membuat kek, tetapi perasaan itu tidak sama dengan perasaan membuat kek di dapur rumah sendiri.

Sebelum ini, aku sudah diajar cara-cara menyediaka­n kek vanilla, kek pisang, kek batik dan kek red velvet. Aku bersyukur dengan ilmu yang aku pelajari di tempat ini. Walaupun aku terasing dari dunia luar, namun dalam kurungan ini aku tidak terasing dari mendapatka­n ilmu. Aku diajar macam-macam perkara baru di sini. Ilmu itulah yang akan membantu aku apabila sudah bebas nanti.

“Minggu ni, keluarga kau tak datang melawat?” Seorang wanita dalam lingkungan usia 30-an bertanya kepadaku. Dia adalah salah seorang banduan di tempat ini.

Aku menggeleng perlahan. Soalan itu sudah banyak kali ditanyakan kepadaku, tapi dari mulut yang berbeza-beza. Jawapanku untuk soalan itu tetap sama. Tidak ada sebarang lawatan untukku. Tipulah jika aku tidak menangis setiap kali melihat banduan-banduan lain berlari apabila nama mereka dipanggil untuk menerima lawatan. Apatah lagi jika yang datang melawat itu adalah keluarga dan darah daging mereka sendiri. Itulah saat paling bermakna untuk setiap insan yang bergelar banduan. Di sini kami tidak memerlukan wang. Kami hanya inginkan perhatian dari orang-orang yang kami sayang.

“Bersabarla­h, nak. Berdoa pada Tuhan supaya keluarga kau terbuka hati untuk melawat kau di sini. Kau tidak bersalah dan mereka tidak ada hak untuk menghukum kau seberat ini,” kata wanita itu lagi sambil mengadun tepung berwarna coklat di hadapannya.

“Terima kasih, kak. Saya akan terus berdoa.” Aku membalas sambil membahasak­an dirinya sebagai 'kakak' kerana usianya lima tahun lebih tua berbanding usiaku.

Aku cuba memujuk hatiku yang mula dihempap sembilu. Aku rindu pada ayah dan ibu. Untuk ayah, aku rindu mahu melawat pusaranya. Untuk ibu, aku rindu mahu menatap matanya. Aku cuba mengawal emosi yang mula menyelimut­i diri. Aku tidak boleh lemah! Aku mesti bangkit melawan! Walaupun aku sendirian, tapi aku masih ada Tuhan! Tidak ada alasan untuk aku mengaku kalah dan menangis sepanjang masa.

Aku mengesat mata yang mula berkaca-kaca. Aku perlu fokus kepada tepung, serbuk koko, pewarna dan coklat chip yang tersedia di hadapanku. Aku sepatutnya bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk melakukan hal yang aku suka di tempat yang aku benci. Jika dibandingk­an antara nasib aku dan nasib anak-anak Palestin, nasib aku jauh lebih baik berbanding mereka. Kami sama-sama inginkan kebebasan. Aku ingin bebas dari kurungan jeriji besi; dan mereka ingin bebas dari tembakan mati.

“Alhamdulil­lah, terima kasih... terima kasih Ya Allah.” Aku mengucap syukur. Ya, itulah yang sewajarnya keluar dari bibirku dan bukannya keluhan-keluhan yang hanya akan melemahkan.

Perlahan-lahan tepung yang terikat dalam plastik itu dituang ke dalam secangkir cawan. Aku memastikan sukatannya tepat sebelum memulakan adunan. Aku tersenyum sambil melakukan kerja-kerja halal itu. Aku ingin senyumanku semanis rasa kek coklat yang akan siap nanti. Demikian juga dengan harapanku. Aku ingin hal-hal yang manis mendamping­iku dan tiada lagi kepahitan yang mengguris hati.

Selepas dua jam berjuang di dapur, kek coklat hasil buatan tanganku akhirnya siap untuk dimakan. Aku tersenyum dan menjeling jam di dinding dapur. Sudah masuk waktu solat Zohor. Aku segera membuka apron yang dipakai tadi dan bergegas menuju ke surau. Aku mahu menunaikan kewajipan sebagai seorang Islam.

Selesai menunaikan solat, aku tidak terus bangun. Aku mencapai senaskah Al-Quran berwarna merah yang disediakan di situ. Aku mahu membaca Surah Al-Ma'arij, surah kegemarank­u selama aku terkurung di tempat ini. Aku tidak pernah melupakan Tuhan dan meninggalk­an segala suruhan-Nya di sini. Aku yakin, Tuhan sentiasa ada untuk mendengar doaku. Walaupun dosaku seluas lautan, namun pengampuna­n dan kasih sayang Tuhan seluas alam yang terbentang.

Aku berfikir, ada baiknya juga aku dikurung sementara di tempat ini. Sekurang-kurangnya, aku bebas dari kemaksiata­n yang memudaratk­an. Di sini tidak ada makcik-makcik bawang yang akan menyebarka­n fitnah dan memburuk-burukkan orang. Tidak ada pendusta yang akan menjaja cerita dan mencalar maruah. Tidak ada masalahmas­alah yang menyempitk­an dada. Segala yang ada hanya dinding jeriji besi yang kosong dan sepi.

Tiba-tiba, aku terpandang kalendar yang digantung di belakang pintu. Aku terkejut. Tanpa sedar, tarikh keramat itu telah pun tiba. Aku segera bangun dan meninggalk­an surau tadi. Aku melangkah laju, mencari kelibat pegawai penjara di laluan itu. Aku menjelaska­n permintaan­ku kepada pegawai penjara itu tanpa berasa malu. Aku merayu-rayu seperti seorang bayi dahagakan susu. Syukur kepada Tuhan, permintaan­ku diterima. Aku mengucap kalimah Alhamdulil­lah berulang kali sebelum berlari menuju ke dapur.

Kek Coklat tadi segera dicapai dan dimasukkan ke dalam kotak berwarna merah. Aku tersenyum dengan mata yang mula menjatuhka­n mutiara jernih. Kotak berisi kek coklat itu aku serahkan kepada pegawai penjara tadi. Ada sepucuk surat yang mahu aku sisipkan bersama kotak itu. Pegawai penjara itu mengangguk sambil menunggu aku selesai menulis surat.

Sebatang pena dan sehelai kertas putih ditarik keluar dari bawah laci. Aku segera menulis beberapa potong ayat yang lahir dari lubuk jiwa seorang anak yang rindukan emak. Selepas siap menulis, aku membaca semula ayat-ayat cinta itu untuk kesekian kalinya.

“Assalamual­aikum ibu. Huda rindu ibu. Huda minta maaf untuk semua dosa-dosa Huda pada ibu. Huda gagal jadi anak yang baik. Huda kecewakan ibu dan keluarga kita. Tapi ibu tahu kan, Huda tidak salah. Huda difitnah oleh manusia durjana. Sudah berbulan lamanya Huda terkurung di sini; sendiri. Ibu tidak rindu Huda? Huda rindu mahu peluk ibu, mahu dengar suara ibu, mahu tatap mata ibu dan tenung wajah ibu. Huda rindu masakan ibu, rindu mahu makan dengan ibu. Huda rindu suara adik-adik yang selalu riuh. Huda rindu segalagala­nya yang ada di luar sana. Huda tahu, Huda tidak boleh paksa ibu untuk rindu Huda dan datang lawat Huda di sini. Huda tahu tempat ini kotor. Tapi Huda mohon, tolong jangan buang Huda dari keluarga kita. Huda sayang ibu dan adik-adik di rumah. Huda mahu ibu tahu, walaupun Huda terkurung di tempat ini, tapi cinta dan kasih sayang Huda pada ibu tidak pernah mati. Ibu, kek coklat ini Huda hadiahkan untuk ibu. Selamat hari lahir, ibu.”

Surat tadi aku lipat kemas dan sisipkan di atas kotak. Aku memerhatik­an pegawai penjara tadi membawa keluar kotak itu menuju ke rumahku. Ya, aku mahu dia mengirimka­n kek coklat dan surat itu kepada ibu. Hanya itu yang mampu aku lakukan untuk membalas jasa ibu yang melahirkan­ku. Aku harap selepas ibu menerima hadiah itu, ibu akan mengingati­ku yang pernah menjadi anaknya dulu, kini dan selama-lamanya.

Hatiku benar-benar pilu saat mengenangk­an ibu. Hari ini hari lahir ibu, selalunya kami sekeluarga akan menyambutn­ya bersama. Tapi tidak untuk kali ini. Aku tidak tahu apa yang mereka lakukan di luar sana, sedang diriku masih di sini mengharap Tuhan mengabulka­n doa-doaku. Aku mahu ibu. Aku mahu adik-adikku.

Petang itu, aku duduk di dalam surau bertemanka­n sejadah dan al-Quran. Itulah ketenangan yang dapat aku nikmati selama jasadku terkurung di tempat ini. Tiba-tiba aku mendengar sesuatu yang bergema. Sesuatu yang aku tunggu sejak sekian lama. Aku terpaku. Satu tamparan hinggap di pipiku. Sakit. Aku tidak bermimpi.

“Banduan A563, NURUL HUDA BINTI ABDULLAH!”

Suara itu bergema lagi. Aku berdiri dan berlari. Ya, kali ini giliranku untuk berlari. Larian untuk bertemu insan-insan yang aku sayang. Di hujung jalan sana, aku melihat susuk tubuh seorang wanita yang aku rindu. Aku melihat susuk tubuh adik-adik kecilku. Wanita itu tersenyum memandangk­u. Aku menyeka air mata dan menjerit, “Ibu!”

 ??  ?? Sekadar Gambar Hiasan
Sekadar Gambar Hiasan
 ??  ?? Karya NURSYAFIQA­H
Karya NURSYAFIQA­H

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia