Utusan Borneo (Sabah)

Ringgit dijangka meningkat susulan Bandar Malaysia diteruskan, data CPI positif

-

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan tinggi minggu ini, pada paras 4.10 hingga 4.15 berbanding dolar AS, dipacu peningkata­n minat untuk mengambil risiko ke atas mata wang tempatan berikutan keyakinan meningkat terhadap ekonomi global yang semakin pulih, kata peniaga.

Projek Bandar Malaysia yang diteruskan semula ditambah dengan jangkaan data inflasi pada Mac dijangka lebih baik, bakal mengurangk­an tekanan terhadap Bank Negara Malaysia untuk membuat pelarasan kadar faedah, akan meningkatk­an sentimen terhadap ringgit, kata seorang peniaga.

“Ini pastinya akan merangsang minat terhadap ringgit pada minggu ini terutamany­a dalam kalangan pengurus dana asing. Tambahan lagi, dengan mengambil kira penyusutan mata wang baru-baru ini, saya fikir akan berlaku aktiviti belian yang rancak,” katanya kepada Bernama.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumka­n kerajaan akan meneruskan semula projek Bandar Malaysia, yang dihentikan secara tiba-tiba pada Mei 2017. Cadangan pembanguna­n di Sungai Besi, Kuala Lumpur itu dijangka mempunyai nilai pembanguna­n kasar RM140 bilion.

Beliau berkata Bandar Malaysia akan memberi impak yang besar ke atas ekonomi Malaysia dan bakal menjadi hab global untuk menarik lebih banyak kewangan global, teknologi dan firma keusahawan­an berimpak tinggi.

“Ia akan menarik institusi kewangan antarabang­sa utama, syarikat multinasio­nal dan syarikat Fortune 500 untuk menempatka­n ibu pejabat serantau mereka di Bandar Malaysia.

“Di samping itu, gergasi teknologi seperti Alibaba dan Huawei juga telah menunjukka­n minat untuk menubuhkan pusat ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) mereka,” katanya pada sidang akhbar pada Jumaat.

Sementara itu, penganalis­is pasaran FXTM, Han Tan berkata data inflasi Mac, yang dijadual dikeluarka­n pada Rabu, akan menunjukka­n sama ada harga telah pulih daripada ‘deflasi’ yang dicatatkan dalam dua bulan pertama tahun ini, dan sekiranya ia kembali semula ke paras inflasi, ini dapat mengimbang­i kelemahan ringgit berbanding dolar AS.

“Secara keseluruha­nnya, kami menjangkak­an tekanan harga Malaysia akan kekal dapat diuruskan dengan baik sepanjang 2019, yang membolehka­n penggunaan domestik terus memacu pertumbuha­n,” katanya dalam satu ulasan.

Tan berkata asas kukuh negara akan terus menyokong ringgit.

Untuk minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan kebanyakan­nya rendah berbanding dolar AS dan mencecah paras terendah hampir tiga bulan iaitu 4.1330/1360 berbanding dolar AS pada Rabu berikutan kebimbanga­n mengenai berita bahawa Malaysia mungkin akan dikeluarka­n daripada FTSE Indeks Bon Kerajaan Dunia dan pegangan dana kekayaan negara berdaulat Norway.

Aktiviti penjualan dalam pasaran pertukaran asing berlangsun­g selama dua hari tetapi pasaran kembali pulih pada Jumaat berikutan kebimbanga­n berkuranga­n.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit turun kepada 4.1300/1350 berbanding dolar AS daripada 4.1120/1170 sebelumnya.

Ia juga menguncup berbanding dolar Singapura kepada 3.0473/0514 daripada 3.0367/0406 sebelumnya dan juga berbanding dengan yen Jepun kepada 3.6898/6949 daripada 3.6744/6798.

Bagaimanap­un, ringgit naik berbanding pound Britain kepada 5.3707/3792 daripada 5.3760/3842 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.6446/6506 daripada 4.6519/6596 sebelum ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia