Utusan Borneo (Sabah)

Polis Kedah rampas syabu RM2.5 juta, tahan keldai dadah

-

ALOR SETAR: Polis Kedah memberkas seorang lelaki dipercayai keldai dadah dan merampas 51 kilogram syabu bernilai kira-kira RM2.5 juta yang dibungkus di dalam beg serbuk teh Cina dalam operasi di kawasan letak kereta Plaza Tol Sungai Petani Utara, Sungai Petani, Khamis lepas.

Ketua Polis Kedah Datuk Zainuddin Yaacob berkata suspek berusia 30 tahun itu ditahan pada 11.30 malam dalam operasi yang dijalankan oleh sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah.

“Ketika dikesan, suspek cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan. Pemeriksaa­n fizikal terhadap suspek tidak menemukan barang yang salah namun pemeriksaa­n lanjut ke atas kereta Proton Pesona milik suspek menemukan dua buah beg mengandung­i keseluruha­n 50 bungkusan plastik mengandung­i bahan dipercayai dadah jenis syabu.

“Setiap bungkusan itu adalah seberat satu kilogram bernilai kira-kira RM50,000,” katanya pada sidang media, di sini pada Ahad.

Beliau berkata suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai dan masih bujang dipercayai menerima upah RM20,000 bagi setiap penghantar­an.

“Suspek mungkin sedang tunggu orang untuk ambil dadah tersebut tapi kita masih jalankan siasatan,” katanya, menambah polis percaya dadah terbabit diperoleh dari negara jiran untuk dipasarkan di negeri-negeri utara Semenanjun­g.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan ujian saringan air kencing juga mendapati lelaki itu negatif dadah.

“Suspek kini ditahan reman selama seminggu sehingga 25 April ini untuk siasatan lanjut menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia