Utusan Borneo (Sabah)

Penganggur diperintah bela diri tuduhan bunuh tiga sekeluarga

-

MELAKA: Seorang penganggur diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa atas tuduhan membunuh tiga sekeluarga dan cuba membunuh dua yang lain, kira-kira tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya mengemukak­an kes prima facie di akhir kes pendakwaan terhadap tertuduh Luqman Hadi Mustapa, 30.

Mengikut pertuduhan, Luqman Hadi didakwa membunuh Hassan A. Wahab, 70; Mariah Baharim, 60; dan Muhammad Taufeq Hassan, 21; di sebuah rumah di Jalan Sidang Said, Bertam Malim di sini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 5.50 pagi hingga 6.15 pagi, 25 Ogos 2016 dan pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati sekiranya sabit kesalahan.

Luqman Hadi juga menghadapi pertuduhan masing-masing dengan niat menetak Noor Haslinda Diyana Hassan, 25; dan Nur Aqedah Aeina Hassan, 24; dengan parang panjang yang boleh menyebabka­n kematian di alamat, masa dan tarikh yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu Luqman Hadi didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara selama 20 tahun.

Seramai 25 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Ahmad Nasfy dalam penghakima­nya berkata pihak pembelaan telah mengemukak­an laporan psikiatri antara lain menyebut tertuduh tidak siuman pada masa kejadian, maka menjadi beban pembuktian ke atas tertuduh untuk membuktika­n imbangan kebarangka­lian bahawa pada masa kejadian tertuduh tidak siuman.

Hakim berkata mahkamah akan mendengar pembelaan tertuduh pada 17 dan 18 Julai depan, serta seorang pakar psikiatri akan dipanggil bagi memberi keterangan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Badius Zaman Ahmad, Nabilalif Mohd Rosli dan Mazuin Hashim, manakala tertuduh diwakili peguam Fahmy Sulaiman.Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia