Utusan Borneo (Sabah)

Menteri, rakyat diseru bantu kempen pertahan industri sawit di luar negara

-

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia di pelbagai peringkat, khususnya menteri kabinet dan ahli Parlimen, disaran membantu mempertaha­nkan industri minyak sawit dan mengkritik usaha mendiskrim­inasi komoditi itu apabila berada di luar negara.

Menteri Industri Utama Teresa Kok ketika mencadangk­an perkara itu berkata tindakan proaktif itu perlu bagi membantu menyampaik­an maklumat tepat kepada pihak luar termasuk di Eropah yang mempunyai pandangan negatif terhadap industri itu dengan mengatakan ia merosakkan alam sekitar dan tidak sihat.

“Saya rasa tidak boleh satu kementeria­n sahaja melawan kempen dari seluruh Eropah dan negara barat yang begitu anti kepada minyak sawit kerana isu penyahhuta­nan dan kesihatan.

“Maka semua menteri apabila pergi ke luar negara, bila berucap dalam forum antarabang­sa, mestilah pertahanka­n industri minyak sawit dan mengkritik usaha yang mendiskrim­inasi industri sawit kita,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara semalam.

Beliau menjawab soalan daripada Senator Alan Ling Sie Kiong yang ingin tahu usaha dan pencapaian menentang dasar Kesatuan Eropah ke atas sekatan tidak adil terhadap minyak sawit keluaran tempatan.

Menurut Kok, program Sayangi Minyak Sawitku yang dilancarka­n Januari lalu bertujuan memberi seluruh rakyat Malaysia maklumat tepat mengenai industri itu sekali gus boleh menjawab sebarang tuduhan berbentuk diskrimina­si.

“Seluruh rakyat Malaysia dan ahli-ahli yang berhormat di dewan ini (Dewan Negara) dan Dewan Rakyat tanpa mengira parti perlu bekerjasam­a jayakan kempen ini… kita harap menerusi kempen ini pada masa depan rakyat Malaysia akan menyayangi minyak sawit dan mempertaha­nkan minyak sawit kita,” katanya.

Mengenai biodiesel, Kok berkata kementeria­nnya setakat ini tidak menerima sebarang aduan negatif selepas penggunaaa­n biodiesel B10 (adunan 10 peratus biodiesel sawit dan 90 peratus diesel petroleum) bagi sektor pengangkut­an dilaksanak­an dan sedang merancang penggunaan biodiesel B20 tahun hadapan.

Tambahnya, biodiesel B7 bagi sektor industri pula akan dilaksanak­an mulai 1 Julai ini.

“Penggunaan biodiesel akan membolehka­n lebih banyak minyak sawit digunakan sekali gus boleh membantu pekebun kecil kita,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia