Utusan Borneo (Sabah)

Pasaran kewangan Malaysia kekal berdaya tahan: BNM

-

KUALA LUMPUR: Pasaran kewangan Malaysia kekal berdaya tahan dalam keadaan pasaran modal, pasaran pertukaran asing dan pasaran wang terus teratur, disokong oleh mudah tunai domestik yang lebih daripada mencukupi, infrastruk­tur pasaran yang teguh dan asas makroekono­mi yang kukuh.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), pasaran bon tempatan terus memberangs­angkan dengan pasaran sekunder yang mendalam dengan jumlah dagangan harian purata RM5.4 bilion setakat tahun ini berbanding purata tiga tahun lalu berjumlah RM3.6 bilion.

“Mudah tunai dalam pasaran pertukaran asing mencatatka­n jumlah dagangan harian purata yang mampan sebanyak USD12 bilion, dengan akaun swap pertukaran asing dan akaun pasaran hadapan mencakupi hampir separuh daripada jumlah purata,” menurut BNM dalam kenyataan bersama Suruhanjay­a Sekuriti Malaysia (SC) semalam.

BNM mengadakan pertemuan semalam dengan SC di Mesyuarat Dua Hala BNM dan SC Ke-16 untuk berbincang lebih lanjut mengenai bidang kepentinga­n bersama kedua-dua pihak berkuasa, termasuk inisiatif berkaitan kemampanan, pengawalan terhadap aset digital dan daya tahan pasaran kewangan.

Kedua-dua pihak berpendapa­t peningkata­n aktiviti perlindung­an nilai yang dinamik oleh pelabur institusi global telah menjadikan akses kepada pasaran lebih baik dan seterusnya menambah mudah tunai dalam pasaran hadapan pertukaran asing.

“BNM dan SC akan terus mengadakan perbincang­an dengan peserta utama pasaran dan pengantara untuk menambah kedalaman dan keluasan pasaran kewangan Malaysia bagi memastikan pasaran boleh terus diakses dan pada masa yang sama, kestabilan dan ketelusan pasaran kekal terpelihar­a,” menurut kenyataan itu.

Turut dibincangk­an termasuk inisiatif berkaitan agenda kemampanan, terutamany­a Rangka Kerja Pelaburan Mampan dan Bertanggun­gjawab (SRI), SC dan Strategi Pengantara­an Berasaskan Nilai (VBI), BNM.

Memandangk­an SRI dan VBI adalah sejajar, keduadua pengawal selia bersetuju memulakan kajian penyelidik­an secara bersama untuk membentuk taksonomi yang jelas mengenai aktiviti ekonomi yang mampan, bermula dengan aktiviti pemeroleha­n dana dan amalan pemberian pinjaman.

“Satu lagi bidang yang sedang dikaji ialah pemahaman mengenai penyebaran risiko berkaitan dengan iklim dan alam sekitar terhadap sistem kewangan dan ekonomi, serta penggunaan sebahagian output sesuatu situasi untuk input baharu,” kata pengawal selia tersebut.

Inisiatif ini merupakan lanjutan kepada kerjasama sedia ada antara kedua-dua pihak berkuasa dalam bidang kepentinga­n strategik negara, khususnya dalam kewangan Islam.

Berhubung pengawalan terhadap aset digital, keduadua pihak berkuasa tersebut telah memeterai pengaturan penyelaras­an yang akan memudahkan inovasi industri, aktiviti pemeroleha­n dana bagi syarikat yang baru memulakan operasi dan perdaganga­n aset digital.

Pengaturan ini juga akan menyokong pengawasan aktiviti aset digital dan memastikan risiko sistemik dan langkah-langkah integriti kewangan terus berkesan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia