Utusan Borneo (Sabah)

Masyarakat Goshen ratapi pemergian tokoh masyarakat

- Oleh HENRY BATING

PEMERGIAN mantan Ketua Kampung Goshen, Assan Gaban dalam usia 100 tahun 16 April lalu diratapi masyarakat daerah ini, tokoh yang mereka sifatkan sebagai pejuang dan pelopor khidmat kemasyarak­atan dalam memperbaik­i kehidupan penduduk.

Ahli Parlimen Kota Marudu Datuk Dr Maximus Johnity Ongkili yang turut bersama ribuan tetamu memberi penghormat­an terakhir berkata beliau amat merasai pemergian Assan.

“Assan telah berkhidmat sebagai ketua Kampung Goshen sejak 1952 sehingga 2000 dan banyak usaha telah beliau laksanakan untuk kesejahter­aan masyarakat,” katanya.

Menurut beliau, kejayaan itu antara lain ialah mengendali­kan pembahagia­n dan pemilikan tanah meliputi lebih 10 kampung.

Tambahnya, mendiang juga melaksanak­an pelbagai usaha meningkatk­an ekonomi penduduk berasaskan pertanian di samping merangsang generasi maju dalam pendidikan.

Maximus berkata, melalui usaha Assan Sekolah Rendah Advent Goshen dan SRA Bambangan dibangunka­n di samping menaja persekolah­an ramai anak petani setempat.

Beliau menghimbau ketika hayat Assan pihaknya selalu merujuk kepada mendiang mengenai pengurusan adat-istiadat di samping mendapatka­n nasihat dalam menangani masalah kemasyarak­atan yang timbul.

“Setahu saya, mendiang Assan amat dihormati masyarakat dan terpandang dalam pemerintah­an di mana Tun Mustapha Datu Harun ketika menjadi Yang Dipertua Negeri telah menganuger­ahkan Assan bintang kebesaran Ahli Darjah Kinabalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis malam terakhir penghormat­an pemergian Assan di rumah mendiang di Kg Goshen pada Sabtu.

Sementara itu, Hony Assan Gaban yang mewakili kekuarga berkata ayah mereka menghembus nafas terakhir di pangkuan salah seorang anak dan cucu lelaki di kediaman mereka tanpa penyakit kronik.

Sanak saudara dan hadirin yang memberi penghormat­an terakhir datang dari pelbagai pelosok negeri di Malaysia, Australia dan Amerika.

Mengikut rekod, Assan lahir pada 4 November 1919 di Kg Lumpoho Ulu Sungai Tuaran dan merupakan anak sulung dari tujuh beradik.

Mendiang mendapat pendidikan awal sehingga kelas empat di sekolah SDA Mission Kg Kitobu Inanam.

Ketika remaja dan masa mudanya, Assan menjadi usahawan tani di samping sebagai pemandu bas awam.

Ketika Perang Dunia Kedua, ayahnya Salag Gabandok dipercayai menjadi anggota gerila bersama Albert Kwok di Menggatal, Jesselton dan pernah ditangkap tentera Jepun.

Namun selepas perang tamat, Gabenor British mengesyork­an Assan agar pergi ke Bandau untuk mencari penempatan baharu.

Pada akhir 1940-an, satu rombongan seramai sembilan orang terdiri daripada isteri dan anak-anak beliau termasuk adiknya Mandatang belayar ke Kudat dan akhirnya menetap serta membuka lembah subur yang kini dinamakan Goshen.

Setelah lebih 70 tahun berlalu, Goshen pesat membangun dan kini menjadi pusat utama perniagaan, pasaran sumber utama dalam menggerakk­an ekonomi dan sosial kira-kira 60 ribu penduduk.

Mendiang yang meninggalk­an balu, Dungut Ranggai, 19 anak, 17 menantu, 58 cucu, 66 cicit dan 18 piut disemadika­n di tanah perkuburan SDA gabungan tujuh kampung di Kg Tagas.

Sementara itu, Presiden SDA Mission Sabah Nelson G Benda berkata Assan merupakan orang yang memimpin umat dalam perkembang­an gereja SDA di bahagian utara.

Hadir sama memberikan penghormat­an ialah mantan Ahli Parlimen Kota Marudu Datuk George Sangkin, mantan senator Datuk Maijol Mahap, Datuk Anita Baranting, Dr Ong Ee dan beberapa pemimpin gereja SDA seperti Pastor J Sikul, Dr Edmund Saegian, Pastor Ginduk Laung, Pastor Hamir Sagandal dan kira 5,000 hadirin.

 ??  ?? KELUARGA Assan memberi penghormat­an terakhir.
KELUARGA Assan memberi penghormat­an terakhir.
 ??  ?? ASSAN GABAN
ASSAN GABAN

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia