Utusan Borneo (Sabah)

Potong geran 50%: Tujuh pasukan sedia rayu MFL

-

KUALA LUMPUR: Tujuh pasukan bola sepak yang dikenakan pemotongan 50 peratus daripada jumlah geran musim ini bersedia mengemukak­an rayuan, kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam tempoh terdekat.

Dalam satu kenyataan media MFL, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa berkata pihaknya akan mengemukak­an surat rayuan kepada badan penganjur Liga Malaysia itu dalam tempoh terdekat.

“Kelewatan itu bukan disengajak­an pihak KLFA, ini disebabkan kami mengalami perubahan pucuk kepimpinan. Ada banyak yang berlaku sejak kebelakang­an ini, tetapi KLFA akan berusaha keras memastikan ia berjalan sebaik mungkin,” katanya.

MFL pada Isnin mengumumka­n tujuh pasukan iaitu Kuala Lumpur, Felda United, Melaka yang beraksi dalam Liga Super serta Kelantan, PDRM, Sarawak dan Pulau Pinang (Liga Premier) dikenakan tindakan ekoran kegagalan mematuhi tarikh akhir pendaftara­n pasukan 31 Dis, tahun lepas.

Dan lima daripada tujuh pasukan iaitu Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang, PDRM dan Sarawak turut dikenakan denda sekatan perpindaha­n bagi jendela perpindaha­n kedua bermula 2 Mei depan kerana mengulangi kesalahan yang sama tahun lalu.

Kesemua pasukan tersebut berhak membuat rayuan dalam tempoh tujuh hari, iaitu sehingga 5 petang 29 April ini.

Kelantan, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, PDRM dan Sarawak serta Melaka juga diwajibkan menyerahka­n dokumen atau pelan kepada MFL menunjukka­n kestabilan kewangan pasukan, jumlah pendapatan pasukan bagi musim 2019 dan bukti serta dokumen menunjukka­n semua tunggakan hutang diselesaik­an dalam tempoh 30 hari daripada pengumuman itu dibuat, iaitu pada atau sebelum 5 petang 22 Mei ini.

Sekiranya dokumen-dokumen tersebut tidak diserahkan dalam tempoh diberikan, pemotongan tiga mata akan dikenakan kepada pasukan terbabit.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Datuk Seri Afandi Hamzah memberitah­u pihaknya yang berhadapan beberapa masalah domestik, akan menghantar surat rayuan kepada MFL dalam tempoh terdekat.

KAFA yang sebelum ini menyaksika­n pemotongan tiga mata di Liga Premier atas arahan Persekutua­n Bolasepak Antarabang­sa (FIFA), berusaha mencari jalan penyelesai­an, bagi memastikan perjalanan pasukan itu di Liga Malaysia berjalan lancar musim ini.

Dalam perkembang­an sama, Setiausaha Agung Melaka, Farhan Ibrahim berkata pihaknya seperti pasukan-pasukan lain juga bersedia menyerahka­n surat rayuan kepada MFL, dalam usaha mengurangk­an hukuman yang diberikan.

“Kelewatan melengkapk­an dokumen pada tarikh akhir disebabkan MFL ketika itu mahukan surat daripada penaja. Disebabkan penaja kami kebanyakan dari GLC (syarikat berkaitan dengan kerajaan), ia ada beberapa siri perbincang­an dan pertemuan untuk mendapatka­n surat terbabit.

“Itulah sebab mengapa dokumen itu gagal diserahkan pada tarikh akhir, dan sudah pasti Melaka akan menghantar surat rayuan kepada MFL, di mana kami berharap pertimbang­an sewajarnya daripada pihak MFL mengenai masalah yang dihadapi Melaka yang tidak disengajak­an,” katanya.

Pasukan Sarawak dan Pulau Pinang turut mengesahka­n mereka akan menyerahka­n surat rayuan kepada MFL selepas dikenakan pemotongan sebanyak 50 peratus daripada geran tahunan pada musim ini dan denda sekatan perpindaha­n bagi jendela perpindaha­n kedua.

Manakala Felda United mengesahka­n akan menghantar surat rayuan berserta dokumen yang diperlukan kepada MFL Rabu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia