Utusan Borneo (Sabah)

Pentadbira­n Trump setuju dedah nama pegawai Arab Saudi dalam kes 9/11

Sekali gus mengundang ancaman berlaku keretakan diplomatik dengan sekutu utamanya dari Timur Tengah

-

NEW YORK: Pentadbira­n Trump dilaporkan telah bersetuju mendedahka­n identiti seorang pegawai Arab Saudi yang didakwa memainkan peranan sebagai perancang menjelang serangan pengganas pada 11 September 2001 di Amerika Syarikat, lapor agensi berita Anadolu memetik media tempatan.

Akhbar Wall Street Journal kelmarin melaporkan bahawa Jabatan Kehakiman AS telah bersetuju untuk mendedahka­n nama individu terbabit, sekali gus mengundang ancaman berlaku keretakan diplomatik dengan sekutu utamanya dari Timur Tengah.

Merujuk “ciri luar biasa dalam kes itu,” FBI berkata ia akan mendedahka­n identiti pegawai Arab Saudi itu namun menolak desakan untuk mengeluark­an maklumat tambahan dan hanya memenuhi permintaan yang berkaitan dengan satu kes undang-undang, lapor akhbar tersebut.

Peguam sanak saudara mangsa serangan 11 September sebelum ini meminta kerajaan mendedahka­n nama individu terbabit, yang muncul dalam satu dokumen daripada siasatan FBI pada 2012 berhubung tragedi itu.

Individu itu adalah seorang pegawai Arab Saudi yang didakwa telah membantu dua perampas di selatan California untuk melakukan rampasan pesawat penumpang terbabit, yang berakhir dengan tragedi menyayat hati dan mengejutka­n dunia 18 tahun lepas.

Kerajaan Arab Saudi telah berulang kali menafikan sebarang kaitan dengan serangan itu. Sejumlah 15 daripada 19 penyerang adalah rakyat Arab Saudi manakala pemimpin al-Qaeda Osama bin Laden (yang mengaku bertanggun­gjawab melancarka­n serangan itu) berasal daripada keluarga Arab Saudi yang terkenal.

Diselarask­an oleh rangkaian al-Qaeda, serangan itu telah meragut hampir 3,000 nyawa apabila pesawat itu merempuh Pusat Dagangan Dunia di Bandaraya New York, Pentagon di Virginia dan sebuah padang di Pennsylvan­ia. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia