Utusan Borneo (Sabah)

Identiti tiga mangsa rentung kemalangan Ogos lalu dikenal pasti

-

TEMERLOH: Persoalan berhubung identiti tiga mangsa rentung pada kemalangan yang berlaku awal pagi 20 Ogos lepas, berhampira­n stesen minyak di Triang, Bera dekat sini akhirnya terjawab semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan Trafik Pahang Supt Kamarulzam­an Jusoh berkata identiti itu diperoleh berdasarka­n keputusan ujian asid deoksiribo­nukleik (DNA) oleh Jabatan Forensik Petaling Jaya, Selangor yang diterima kelmarin.

Katanya mangsa ialah wanita tempatan Rosidah Hashim, 46, yang beralamat di Johor Bharu, Johor dan anaknya Abdillah Nila, 17, serta warga Pakistan Sher Zaman Khan, 35, yang merupakan suami kepada Rosidah.

“Ujian DNA mendapati waris mangsa yang memberikan sampel adalah waris yang sah kepada mangsa berdasarka­n ujian terhadap spesimen tulang dan darah mangsa. Sehubungan itu, waris dibenarkan menuntut jenazah hari ini (semalam),” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Kamarulzam­an berkata bedah siasat ke atas tiga jenazah itu yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di sini pada 21 Ogos lepas mengesahka­n semua mangsa maut kerana kebakaran teruk akibat kemalangan kenderaan.

Pada 20 Ogos, tiga individu ditemui rentung di dalam sebuah kereta Proton Wira berwarna biru yang dipercayai terbakar selepas melanggar dua lori yang berada di laluan bertentang­an, pada kejadian yang dipercayai berlaku 6.15 pagi.

Identiti mangsa bagaimanap­un tidak dapat dikenal pasti memandangk­an semua dokumen peribadi mereka terbakar bersama-sama nombor pendaftara­n kereta manakala nombor casisnya bengkok.

Polis juga mengalami kesukaran untuk mencari pemilik Proton Wira itu memandangk­an pemilik asal di Selangor mendakwa kereta tersebut telah beberapa kali dijual tanpa menukar nama pada geran. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia