Utusan Borneo (Sabah)

Rim dan spoiler jadi petunjuk kakak mangsa rentung

-

TEMERLOH: Aksesori kereta iaitu spoiler dan rim tayar yang dilihat pada berita kemalangan di televisyen menggerakk­an hati seorang kakak untuk mencari adiknya yang sudah dua hari gagal dihubungi.

Mastura Hashim, 53, berkata beliau menonton siaran berita itu pada 22 Ogos yang memaklumka­n pihak polis masih mencari waris kepada mangsa kemalangan maut di Triang, Bera dekat sini, yang berlaku pada awal pagi 20 Ogos lepas.

“Saya mengenali spoiler dan rim kerana begitu serupa dengan kereta dibeli suami adik... tambahan pula, saya baru melihat kereta itu sebulan lalu semasa kami berkumpul di Triang semasa emak mentua saya meninggal dunia.

“Saya minta anak ke balai polis bagi mendapatka­n lebih maklumat berhubung kereta itu dan dapati beberapa deskripsi diberikan menepati kereta suami adik seperti awalan nombor pendaftara­nnya,” katanya kepada pemberita di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di sini, semalam.

Mastura hadir bagi menuntut jenazah adiknya Rosidah, 46, dan anak lelaki mangsa Abdillah Nila, 17, yang maut bersama-sama warga Pakistan Sher Zaman Khan, 35, yang merupakan suami kepada Rosidah.

Sher Zaman Khan merupakan suami ketiga kepada mangsa dan mereka baharu berkahwin tiga bulan lepas manakala Abdillah merupakan anak Rosidah menerusi perkahwina­n keduanya.

Semua mangsa ditemui rentung selepas kereta Proton Wira dinaiki mereka terbabas dan melanggar dua lori di laluan bertentang­an pada kejadian 6.15 pagi, 20 Ogos lalu di Kilometer 43, Jalan Temerloh-Bahau dekat sini.

Sementara itu, adik kepada Rosidah, Mohd Nor, 43, berkata ketika kejadian, Allahyarha­m difahamkan dalam perjalanan ke rumah Mastura di Triang untuk berjumpa seorang lagi anaknya hasil perkahwina­n terdahulu yang tinggal di situ.

Beliau berkata Allahyarha­m yang bekerja sebagai tukang masak juga dikenali sebagai seorang yang suka merantau untuk mencari kerja dan pernah menetap di Perak, Kuala Lumpur dan Pahang.

“Jenazah kakak dan anaknya akan dibawa pulang ke Bangi, Selangor untuk disempurna­kan memandangk­an ramai saudara-mara kami di situ, sebelum dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam Bukit Alif, Johor Bharu,” katanya.

Sementara itu, abang kepada Sher Zaman Khan, Sher Hakim Khan, 43, berkata jenazah adiknya yang sudah sembilan tahun menetap di Malaysia dan bekerja di kedai perabot itu akan dibawa pulang ke kampung halaman untuk dikebumika­n. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia