Utusan Borneo (Sabah)

Kapal penarik udang dari Nunukan ditemui hanyut hingga Sipadan

- Oleh Amir Anuar

SEMPORNA: Sebuah kapal penarik udang Indonesia dari Nunukan yang mengalami kerosakan enjin ditemui hanyut di kawasan perairan Pulau Sipadan, di sini kelmarin.

Kapal dan tiga kelasi yang masing-masing berumur 23, 46 dan 45 tahun serta dilaporkan hanyut selama sehari di laut itu berjaya diselamatk­an Pasukan Polis Marin (PPM).

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata, maklumat berhubung keberadaan kapal terbabit diterima kira-kira jam 7.30 pagi.

“Taman-Taman Sabah dan Angkatan Tentera Malaysia melaporkan kepada kita mengenai kehadiran sebuah kapal penarik udang yang dilihat berada dalam keadaan mencurigak­an.

“Kapal terbabit dilaporkan berada pada kedudukan satu batu nautika dari Sipadan,” katanya di sini semalam ketika berkongsi kejayaan terbaru pasukannya.

Pajeri berkata, PPM Semporna turut mengenal pasti ketiga-tiga kelasi kapal itu warga Indonesia yang berasal dari Tarakan hasil pemeriksaa­n yang dijalankan.

Katanya, siasatan awal mendapati ‘injection pump’ kapal berkenaan rosak semasa berada di kawasan muara Nunukan dan dalam perjalanan menuju ke Sg Nyamuk.

“Kapal itu dikatakan hanyut dilanda ombak besar sehingga ke kawasan perairan Sipadan semasa kelasi-kelasinya berusaha membaiki kerosakan enjin,” katanya.

Pasukannya turut menjalanka­n pemeriksaa­n di atas kapal berkenaan namun tidak menemukan sebarang material atau unsur yang menyalahi peruntukan undang-undang.

Kesemua kelasi dan kapal terlibat kemudianny­a dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna dan laporan kes itu sudah disampaika­n kepada Konsulat Republik Indonesia.

 ??  ?? BANTU: Anggota PPM Semporna menyelamat­kan ketiga-tiga kelasi yang dilaporkan hanyut seharian di laut selepas kapal mereka mengalami kerosakan.
BANTU: Anggota PPM Semporna menyelamat­kan ketiga-tiga kelasi yang dilaporkan hanyut seharian di laut selepas kapal mereka mengalami kerosakan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia