Utusan Borneo (Sabah)

Sambutan Hari Malaysia terjemah konsep ‘Malaysia’

Raikan sambutan Hari Malaysia dengan satu semangat untuk mendorong ingati sejarah bagaimana Malaysia itu dilahirkan

-

Hari Malaysia ialah hari memperinga­ti pembentuka­n Malaysia apabila persekutua­n Tanah Melayu, Sarawak, Borneo Utara (Sabah) dan Singapura disatukan sebelum Singapura kemudian menarik diri dari Malaysia. Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi Timbalan Pengarah Akademi Pengajian Melayu UM

SHAH ALAM: Penglibata­n rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai budaya, agama dan bangsa dalam meraikan sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept ini, disifatkan cerminan dalam menterjema­hkan konsep ‘Malaysia’ itu sendiri.

Timbalan Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata rakyat negara ini perlu meraikan sambutan Hari Malaysia dengan satu semangat untuk mendorong mereka supaya sentiasa mengingati sejarah bagaimana Malaysia itu ‘dilahirkan’.

“Rakyat Malaysia perlu meraikan Hari Malaysia supaya kita terus mengingati sejarah negara sama ada melibatkan sudut politik, sosioekono­mi dan sosial yang sememangny­a berbeza.

“Konsep Persekutua­n yang menjadi tunjang negara ini penting untuk difahami agar tidak timbul atau berlakunya konsep negara dalam negara, pemahaman sempit atau etnosentri­k atau etnonasion­alisme melampaula­mpau sehingga akhirnya menggugat serta memberikan ancaman kepada tanah air kita,” katanya kepada Bernama di sini.

Awang Azman yang juga penganalis­is sosiopolit­ik berkata tanpa sambutan Hari Malaysia, rakyat negara ini mungkin kurang menyedari atau tidak mengetahui sejarah pembentuka­n Malaysia.

Beliau berkata pembentuka­n Malaysia merupakan detik bersejarah kerana ia merupakan kayu pengukur kepada situasi perubahan negara yang mana sekiranya tidak berlaku, keadaan negara tidak akan sama seperti hari ini.

Jelasnya, Hari Malaysia juga seharusnya membawa erti yang signifikan kepada rakyat Malaysia tidak kira di Semenanjun­g, Sabah ataupun Sarawak.

Katanya, menerusi pembentuka­n Malaysia, pemimpin dan rakyat di ketigatiga wilayah (Semenanjun­g, Sabah, Sarawak) tersebut bersetuju untuk hidup bersama sebagai sebuah negara dan bangsa.

“Hari Malaysia ialah hari memperinga­ti pembentuka­n Malaysia apabila persekutua­n Tanah Melayu, Sarawak, Borneo Utara (Sabah) dan Singapura disatukan sebelum Singapura kemudian menarik diri dari Malaysia.

“Tanpa sambutan Hari Malaysia, pastinya ramai yang akan kurang menyedari kepentinga­n hari tersebut dalam sejarah pembentuka­n negara ini, yang seharusnya diingati sampai bila-bila,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia