Utusan Borneo (Sabah)

UTEM jadi tuan rumah Program Sentuhan Kasih Zon Selatan

-

MELAKA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) diberi kepercayaa­n untuk menjadi tuan rumah bagi Program Sentuhan Kasih@JPT 2019, Zon Selatan yang akan diadakan di Politeknik Mersing, Johor pada 19 Sept ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabang­sa) UTeM, Profesor Datuk Dr Mohd Razali Muhamad berkata program itu bertujuan memberi pendedahan dan penerangan secara lebih jelas mengenai dasar kemasukan, syarat kemasukan, kaedah permohonan dan proses pengambila­n pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolah­an Malaysia (STPM) ke Institut Pengajian Tinggi.

Beliau berkata UTeM selaku tuan rumah bagi Zon Selatan akan dibantu dengan kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Pejabat Pendidikan Daerah Mersing dan Politeknik Mersing.

“Kita harap program ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar terutamany­a anakanak kumpulan B40 di daerah Mersing dan sekitar yang bakal menduduki peperiksaa­n atau sedang mencari peluang untuk melanjutka­n pelajaran.

“Program ini juga berperanan berkongsi maklumat mengenai program pengajian sedia ada serta program baharu yang ditawarkan oleh Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti, Institusi Latihan Kemahiran Awam dan institusi lain bagi sesi akademik 2020/2021,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Beliau berkata di samping itu juga, pihak UTeM turut mempromosi­kan program-program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran semasa. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia