Utusan Borneo (Sabah)

Kereta api tergelinci­r di DR Congo, 10-50 penumpang haram maut

-

LUBUMBASHI: Sebuah kereta api muatan tergelinci­r dari landasan di tenggara Republik Demokratik (DR) Congo kelmarin, mengorbank­an antara 10 dan 50 orang yang menumpang kereta api itu secara haram, menurut beberapa laporan yang bercanggah, dalam tragedi kereta api terbaharu yang melanda negara Afrika tengah yang luas ini.

Kemalangan berlaku apabila beberapa gerabak kereta api terbalik di sebuah kawasan terpencil di wilayah Tanganyika pada sekitar jam 6 pagi waktu tempatan.

Anggaran bagi angka kematian adalah berbeza.

Menteri bagi tindakan kemanusiaa­n, Steve Mbikayi, menyatakan angka pertama adalah sebanyak 50 kematian.

Namun gabenor wilayah, Zoe Kabila, yang merupakan adik lelaki kepada bekas presiden Joseph Kabila, kemudian menyatakan di Twitter: “Pembetulan...angka sementara 10 kematian, 30 kecederaan dan tiga gerabak kereta api terbalik.”

Sementara misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di DR Congo memberitah­u AFO bahawa anggota tentera pengaman dari Indonesia berada di tempat kejadian telah mengesahka­n 23 kematian dan 14 kecederaan, setakat jam 3 petang waktu tempatan.

Kekeliruan sebegini mengenai jumlah adalah biasa di negara yang dilanda konflik, di mana malah populasi seramai 80 juta orang merupakan satu anggaran kasar – bancian terakhir telah dilakukan pada 1984.

Namun beberapa saksi di tempat kejadian telah menyatakan secara konsisten bahawa angka kematian adalah tinggi.

Seorang anggota dari Suruhanjay­a Kehakiman dan Kedamaian di Gereja Katolik Congo, Ernest Lukwesa, berkata mangsa tercedera yang tiba di Nyunzu telah memaklumka­n beliau antara 50 dan 100 orang terkorban.

“Jumlah mangsa yang meninggal dunia masih sukar untuk ditentukan. Terdapat beberapa orang yang terperangk­ap di bawah gerabak tersebut,” beliau memberitah­u AFP

Salah seorang mangsa terselamat, Guillaume Yambi Musala, menyatakan antara 30 dan 40 orang berada di dalam setiap gerabak.

“Saya melihat banyak kematian. Memandangk­an ia waktu malam, adalah mustahil untuk mengetahui angka sebenarnya,” beliau memberitah­u AFP melalui panggilan telefon.

Penumpang haram adalah biasa dalam kereta api di DR Congo, yang hanya memiliki beberapa ribu kilometer jalan yang berturap bagi meliputi negara seluas 2.3 juta kilometer persegi. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia