Utusan Borneo (Sabah)

Pemain harus berjuang habis-habisan

Piala Malaysia medan penting bagi menilai prestasi pemain-pemain masuk dalam perancanga­n pasukan musim depan

-

Oleh Vitalis G Bingkasan

KOTA KINABALU: Dua perlawanan terakhir Tambadau Sabah dalam saingan Kumpulan C kempen Piala Malaysia di Stadium Likas termasuk menentang Pulau Pinang malam ini bukan hanya mengenai peluang pasukan itu tetapi juga kedudukan pemain-pemain sendiri dalam pasukan.

Sehubungan itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony mahu persembaha­n yang terbaik daripada pasukan Negeri Di Bawah Bayu itu.

"Saya mahu semua pemain bermain habis-habisan agar kita dapat melihat persembaha­n terbaik pasukan sekali gus meraih kemenangan pertama dalam saingan ini.

"Kedudukan peluang pasukan mara ke suku akhir sudah ibarat `telur di hujung tanduk' tetapi kita perlu terus berjuang selagi peluang itu masih ada," kata Peter ketika dihubungi di sini semalam.

Sabah akan turun sebagai pasukan tercorot di kalangan empat pasukan selepas gagal mengutip sebarang mata daripada empat perlawanan sebelum ini.

Saingan peringkat kumpulan dijalankan secara liga dua pusingan. Kumpulan C turut dianggotai Pahang dan Perak.

Hanya dua pasukan teratas layak ke suku akhir dan salah satu daripadany­a sudah dimiliki Pahang yang kini mendahului carta liga selepas mengumpul maksima 12 mata daripada empat perlawanan.

Kelebihan memiliki baki satu lagi tempat kini berpihak kepada Perak dan Pulau Pinang yang masing-masing telah mengumpul lima mata tetapi belum memadai menafikan peluang Sabah yang akan menamatkan jadual menentang Perak juga di Stadium Likas, Rabu depan (18 September).

Sabah masih berpeluang jika menang dua perlawanan terakhirny­a manakala Pulau Pinang dan Perak tewas kepada Pahang.

"Menangilah dahulu perlawanan esok (malam ini) dan lihat ke mana ia akan bawa kita. Saya percaya dalam bola sepak apapun boleh berlaku.

"Sambil itu, seperti yang saya katakan daripada awal bahawa saingan Piala Malaysia ini juga adalah antara medan penting bagi menilai prestasi pemain-pemain untuk masuk dalam perancanga­n pasukan musim depan," katanya.

Peter akui ia bukan tugas mudah terutamany­a berhadapan dengan lawan yang mempunyai pemain import lebih berkualiti tetapi ia juga memberi kesempatan kepada pemain-pemain Sabah membuktika­n kemampuan mereka.

"Sebab itu, dua perlawanan terakhir ini adalah peluang terbaik untuk pemain-pemain mengukuhka­n kedudukan mereka dalam pasukan. Saya percaya pasukan kita sudah bersedia dan barisan jurulatih yang diketuai Jelius (Ating) juga sudah ada perancanga­n terbaik menghadapi Pulau Pinang," katanya.

Jelius membayangk­an memulakan perlawanan malam ini dengan kekuatan dua tenaga import.

"Saya mungkin akan memulakan perlawanan dengan dua import sahaja iaitu Rodoljub Paunovic (penyerang) dan Park Tae Su (pertahanan).

"Agunaldo Mendes (penyerang) akan bermula di bangku simpanan kerana baru pulih dari kecederaan dan tempatnya akan diambil Rahman Shah Marajeh.

"Seorang lagi import, Ahmet Atayev memang tidak dapat disenaraik­an juga kerana kecederaan lutut baru menjalani pembedahan.

"Apapun, suasana dalam pasukan baik dan pemainpema­in nampak bersemanga­t untuk mengharung­i perlawanan ini. Pulau Pinang telah menunjukka­n peningkata­n terutama selepas mengambil dua import baharu. Kita juga tewas 1-2 di tangan mereka pada pusingan pertama tetapi akan cuba untuk tebus kekalahan itu dengan kelebihan gelanggang sendiri esok (malam ini)," kata Jelius.

Sambil itu, Peter mengajak penyokong datang memberi sokongan padu kepada pasukan terutama ia adalah perlawanan kedua terakhir Sabah dalam saingan peringkat kumpulan.

Kesebelasa­n kemungkina­n Sabah: Rozaimi Rohim, Rawilson Batuil, Park Tae Su, Randy Baruh, Evan Wensley, Alto Linus, Mohd Azizan Nordin, Mafry Balang, Maxsius Musa, Rahman Shah dan Paunovic.

 ??  ?? PETER
PETER

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia