Utusan Borneo (Sabah)

JBALB Sri Aman terus aktif hantar bekalan air ke kawasan terjejas

-

KUCHING: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sri Aman terus aktif melakukan penghantar­an bekalan air ke beberapa kawasan terjejas susulan cuaca panas dan kering berterusan.

Menurut kenyataan medianya, setakat 13 September lalu, jabatan telah menghantar bekalan air ke hospital, klinik dan sekolah di Sri Aman, rumah panjang di Daerah Lubok Antu, Engkilili dan Pantu selain turut mengisi tangki air di Pusat Pengambila­n Air Berpusat JBALB Sri Aman.

“Lokasi pusat pengambila­n air JBALB adalah terletak berhadapan dengan pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Sri Aman, flat kerajaan negeri Jalan Kedang, berhadapan Penjara Sri Aman, Kampung Pakit dan Pasar Lachau, Pantu,” kata jabatan itu.

Pada waktu ini ujarnya, loji rawatan di Bahagian Sri Aman masih lagi beroperasi.

“Dimaklumka­n Loji Rawatan Air Bayai beroperasi sebanyak 60 peratus setakat Jumaat, 13 September dan Loji Rawatan Air Pantu beroperasi lima jam sehari bergantung dengan keadaan paras air.

“Manakala, Loji Rawatan Air Lingga, Seduku dan Stumbin beroperasi dua kali sehari iaitu dari jam 8 hingga 10 pagi dan 3 hingga 5 petang dan Loji Rawatan Air Skrang dan Melugu pula beroperasi sebanyak 50 peratus.

“Bagaimanap­un, operasi di Skim Pembanguna­n Lemanak telah dihentikan akibat paras air yang kritikal,” katanya.

Sehubungan itu, JBALB Sarawak menyeru orang awam untuk berjimat dan menggunaka­n air secara berhemah sepanjang musim kemarau ini.

“Kesabaran penduduk setempat yang terjejas akibat situasi ini amat kami hargai,” katanya.

Segala maklumat terkini akan disalurkan menerusi laman Facebook rasmi JBALB Sarawak.

Sebarang aduan dan pertanyaan boleh dikemukaka­n dengan menghubung­i Careline JBALB Sri Aman menerusi talian 083-323240 atau 323242 dan segala kesulitan yang dialami amat dikesali.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia