Utusan Borneo (Sabah)

Turki mungkin beli Patriot AS: Erdogan

-

ANKARA: Ankara akan membincang­kan pembelian peluru berpandu Patriot Amerika Syarikat (AS) dalam satu pertemuan antara pemimpin keduadua negara akhir bulan ini, lapor agensi berita Anadolu memetik laporan media kelmarin.

“Saya kata tidak kira pakej apa... S-400 yang kami dapat, kami boleh membelinya daripada anda sejumlah Patriot,” kata Presiden Recep Tayyip Erdogan kepada agensi berita Reuters dalam satu temu bual di Istanbul.

“Bagaimanap­un saya katakan bahawa kami perlu menetapkan syarat-syarat bahawa ia perlu sekurang kurangnya sepadan dengan S-400,” kata Erdogan.

Erdogan sebelum ini telah berbincang tentang pembelian Patriot dengan Presiden AS Donald Trump dalam satu perbualan telefon dan mereka akan membincang­kan isu itu lebih terperinci di mesyuarat Perhimpuna­n Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada akhir bulan ini.

“Pada pendapat saya sebuah negara seperti AS tidak lagi berhasrat untuk melukakan sekutunya Turki. Ini bukan satu perlakuan yang rasional,” kata Erdogan yang berharap bahawa hubungan peribadi beliau dengan Trump akan dapat mengatasi krisis semasa antara keduadua negara.

“Ini bukan satu kesalahan sebaliknya satu sistem pertahanan. Turki memerlukan satu sistem seperti itu,” kata beliau.

Sambil menegaskan bahawa Trump menyalahka­n pentadbira­n (Barack) Obama susulan keengganan beliau memeterai satu perjanjian dengan Turki bagi penjualan sistem peluru berpandu Patriot, Erdogan berkata “adalah mustahil untuk memikirkan bahawa ancaman sekatan itu menggambar­kan realiti.”

Beliau turut mengulangi bahawa Turki akan bertindak mempertaha­nkan dirinya jika Washington meneruskan pendirian semasanya berhubung pengecuali­an Turki daripada program pesawat pejuang F-35.

Menonjolka­n fakta bahawa Rusia menyokong Turki dalam industri pertahanan, Erdogan menegaskan bahawa Rusia telah menawarkan untuk menjual jet pejuang Su-57 dan Su-35 kepada Turki.

Pada Julai, AS telah menggantun­g pembabitan Turki dalam satu program bagi pesawat pejuang F-35, dan berkata pembelian sistem pertahanan peluru berpandu S-400 Rusia oleh negara itu mampu membahayak­an pesawat tersebut, dakwaan yang disangkal oleh Turki secara konsisten.

Turki mengeluark­an beberapa bahagian pesawat F-35 dan merupakan rakan kongsi program pesawat itu. Ia telah memberi amaran bahawa sebarang usaha untuk menyingkir­kan negara itu daripada rantaian pengeluara­n akan menyebabka­n semua pihak terpaksa membayar dengan harga yang mahal. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia