Utusan Borneo (Sabah)

Ketua pengarah unit perisikan polis Kanada ditahan

-

OTTAWA: Royal Canadian Mounted Police (RCMP) kelmarin berkata mereka menahan ketua pengarah unit perisikan kerana disyaki mencuri dokumen sensitif.

Cameron Ortis berdepan lima tuduhan terhadap kod kriminal di Kanada dan Akta Keselamata­n Maklumat, agensi polis persekutua­n itu berkata dalam satu kenyataan.

“Tuduhan adalah bahawa dia memperoleh­i, menyimpan, memproses maklumat sensitif, yang kami percayai dengan niat untuk memberikan­nya kepada orang yang dia tidak sepatutnya berhubung dengannya,” pendakwa raya John MacFarlane memberitah­u wartawan selepas Ortis hadir di mahkamah kelmarin.

Global News di Kanada melaporkan Ortis, yang ditangkap pada Khamis lepas, merupakan penasihat kanan kepada bekas pesuruhjay­a RCMP Bob Paulson, dan mengawal bahagian operasi risik balas.

Perdana Menteri Justin Trudeau, yang berkempen untuk penggal kedua di pejabat, memberitah­u wartawan semasa rali pilihan raya, “Saya dapat memberi jaminan kepada kamu bahawa pihak berkuasa sedang mengambil kira perkara ini dengan sangat serius,” tanpa mengulas lanjut.

Pesaingnya, ketua Konservati­f Andrew Scheer berkata “amat membimbang­kan bahawa seorang pegawai kanan perisikan RCMP telah ditangkap kerana membocorka­n maklumat keselamata­n negara.”

“Ini merupakan satu lagi peringatan kepada ancaman yang kami hadapi daripada pihak asing,” tegas Scheer, yang terikat dalam pungutan suara dengan Trudeau.

RCMP bimbang Ortis mencuri “maklumat dalam kuantiti yang besar, yang boleh menjejaska­n sejumlah siasatan yang tidak dinyatakan,” menurut Global News, yang pertama melaporkan mengenai penangkapa­n tersebut.

Kanada adalah anggota dalam pakatan perisikan “Five Eyes” dengan Australia, New Zealand, Great Britain dan Amerika Syarikat.

Penyiaran awam RadioCanad­a berkata Ortis adalah seorang pakar di Asia Timur, infrastruk­tur penting dan “bot” dalam talian.

Dalam rangkaian sosial LinkedIn, akaun individu yang bernama Cameron Ortis menunjukka­n beliau bekerja untuk kerajaan Kanada sejak 2007 selepas menerima ijazah kedoktoran dalam hubungan antarabang­sa dan sains politik di University of British Columbia.

Akaun itu turut menyatakan dia boleh bertutur dalam bahasa Mandarin, bahasa utama negara China yang sedang menghadapi krisis diplomatik dengan Kanada.

Pada Disember lepas Beijing menangkap dua rakyat Kanada dalam tindakan balas selepas Kanada menahan seorang eksekutif teknologi China dengan waran dari Amerika Syarikat (AS).

China turut menyekat penghantar­an pertanian dari Kanada bernilai berbilionb­ilion dolar. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia