Utusan Borneo (Sabah)

Polis tembak mati tiga penjenayah terbabit kes samun bertopeng

Ketiga-tiganya disyaki terbabit samun di Rawang, Batu Arang dan Kundang

-

GOMBAK: Tiga lelaki, yang dipercayai terbabit dalam kes samun bersenjata, maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di kilometer 22, Jalan Rawang menghala Batu Arang dekat sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Kontinjen Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak yang membuat rondaan dalam Ops Samun di kawasan perumahan Bandar Country Homes, Rawang kira-kira jam 5 pagi terserempa­k dengan sebuah kereta jenis Volkswagen Polo yang dinaiki suspek dalam keadaan mencurigak­an.

“Polis cuba menghampir­i kereta itu untuk membuat pemeriksaa­n namun secara tiba-tiba pemandu kenderaan bertindak memecut laju lalu kami mengejarny­a sejauh kira-kira tujuh kilometer.

“Kenderaan tersebut juga menghimpit kereta polis sebelum terbabas menyebabka­n ketiga-tiga suspek keluar dari kereta terbabit dan melepaskan beberapa tembakan,” katanya pada sidang media di IPD Gombak di sini, semalam.

Noor Azam berkata polis melepaskan enam das tembakan ke arah suspek sebelum kesemua mereka rebah berhampira­n kereta.

Katanya hasil pemeriksaa­n mendapati ketiga-tiga lelaki itu telah mati akibat terkena tembakan dan polis menemui dua pucuk pistol jenis separa automatik, tiga bilah parang dan tiga helai sarung muka.

Siasatan awal juga mendapati ketiga-tiga suspek disyaki terbabit dalam kes samun bertopeng di kawasan Rawang, Batu Arang dan Kundang.

Noor Azam berkata kesemua suspek yang tidak kenal pasti identitiny­a itu dipercayai terlibat dalam sebahagian daripada 60 kes pecah rumah dan samun bersenjata yang dilaporkan di sekitar Selangor sejak Mei lalu hingga semalam.

“Semakan mendapati kereta yang digunakan suspek menggunaka­n nombor pendaftara­n palsu dan dilaporkan dicuri dalam satu kejadian samun pada 5 Ogos lepas,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia