Utusan Borneo (Sabah)

Shafie ingin bertemu Lim Guan Eng bincang masalah kewangan negara

- Oleh Saddam Edris

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhasrat bertemu dengan Menteri Kewangan Malaysia Lim Guan Eng bagi membincang­kan lebih lanjut mengenai masalah kewangan yang dihadapi negara pada saat ini.

Beliau berkata, Sabah juga tidak terkecuali menghadapi masalah kewangan sendiri yang mana negara kini pada keseluruha­nnya sedang menghadapi masalah berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa apa yang penting adalah untuk mencari jalan penyelesai­an supaya negara dan negeri dapat menangani masalah itu dengan sebaiknya.

“Kita sedar bahawa negara mempunyai masalah menyalurka­n pembiayaan. Sabah juga menghadapi masalah yang sama dan apa yang penting di sini adalah bagaimana kita boleh mengurangk­an hutang itu.

“Jadi, saya perlu berunding dengan beliau (Lim) kerana kita mempunyai beberapa sesi mesyuarat dengan mereka (Kerajaan Persekutua­n)... kita akan lihat bagaimana penyelesai­an nanti kerana saya belum dimaklumka­n mengenai perkara itu (kenyataan Lim),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Perpaduan Dalam Kepelbagai­an, di sini, malam kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng barubaru ini, bahawa Kerajaan Persekutua­n tidak dapat memenuhi janji untuk memberi royalti 20 peratus kepada Sabah dan Sarawak kerana negara masih dibebani dengan hutang besar yang tersisa daripada pentadbira­n terdahulu.

Jelas Shafie, isu sedemikian perlu diperincik­an semula dan seharusnya tidak ada pengecuali­an kerana ia membabitka­n pembanguna­n di negeri ini yang hanya memerlukan sedikit wang supaya tidak ketinggala­n dari negeri lain yang sedang membangun.

Beliau juga berharap akan mendengar berita baik daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung pembanguna­n kedua-dua negeri ini ketika lawatannya ke Kuching sempena sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan hari ini.

Mengenai program yang julung kali diadakan itu, beliau berkata kerajaan amat mengalu-alukan penganjura­n sedemikian oleh badan bukan kerajaan (NGO) dalam memupuk perpaduan antara kaum dan agama di negeri ini.

Katanya, memupuk semangat perpaduan dan kesatuan amat penting pada masa ini bagi menangani isu atau sentimen perkauman yang semakin membimbang­kan dalam kalangan rakyat.

“Kita sedar dan tahu bahawa cabaran perlu dihadapi dalam suasana kepelbagai­an kaum yang ada, kerana bukan mudah untuk terapkan kesatuan dan perpaduan apatah lagi dengan hambatan setiap jam di media sosial mengenai masalah kaum dan agama.

“Justeru, jiwa dan pemikiran harus kental supaya tidak didorong oleh pemikiran negatif yang memecah belah perpaduan antara kita... jadi kerjasama semua pihak dalam memupuk perpaduan perlu diteruskan,” katanya.

 ??  ?? RASMI: Shafie (tiga kanan) ketika berucap merasmikan Program Perpaduan Dalam Kepelbagai­an yang julung kali diadakan di negeri ini.
RASMI: Shafie (tiga kanan) ketika berucap merasmikan Program Perpaduan Dalam Kepelbagai­an yang julung kali diadakan di negeri ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia