Utusan Borneo (Sabah)

Ringgit dijangka meneruskan momentum menaik minggu ini

-

KUALA LUMPUR: Sentimen global yang semakin baik berikutan ketegangan perdaganga­n Amerika Syarikat (AS)-China yang semakin reda, dijangka terus memacu naik ringgit pada minggu ini, bergerak antara 4.15 dan 4.1750 berbanding dolar AS.

Pakar strategi pasaran Axi Trader Asia-Pasifik Stephen Innes berkata pasaran pertukaran asing (forex) global akan memberi perhatian pada aliran berita mengenai perang perdaganga­n, yang telah menjadi pemacu sentimen serantau yang ketara.

“Saya agak optimis kerana saya fikir Washington dan Beijing mahu mengambil langkah awal untuk menyelesai­kan pertikaian perdaganga­n, yang mana China akan membeli lebih banyak produk pertanian AS sebagai pertukaran untuk menangguhk­an pelaksanaa­n tarif pada Disember,” katanya kepada Bernama.

Presiden AS Donald Trump pada 12 Sept mengumumka­n kenaikan tarif ke atas China, yang dijangka berkuat kuasa pada 1 Okt, akan ditangguhk­an selama dua minggu.

Innes berkata ringgit boleh naik lebih tinggi jika yuan China bergerak di bawah paras 7.00 berbanding dolar AS dan terdapat perkembang­an positif dengan pengumuman FTSE Russell berhubung senarai yang patut diberi perhatian dalam Indeks Bond Dunia (WGBI).

“Tamparan terbesar bagi tempatan adalah sekiranya FTSE Russell akan menggugurk­an Malaysia daripada WGBI. Bagaimanap­un, saya tidak fikir (pengeluara­n daripada senarai akan berlaku, terutamany­a) selepas langkah liberalisa­si dibuat Bank Negara Malaysia dalam dasar pentadbira­n pertukaran asing,’’ jelasnya.

Mengulas mengenai pakej rangsangan Bank Pusat Eropah (ECB) dan keputusan mengurangk­an kadar utama, Innes berkata ini akan membantu melonjakka­n ringgit naik lebih tinggi memandangk­an kemungkina­n euro menyusut berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat, berikutan ECB mungkin menghentik­an rangsangan selanjutny­a, manakala Rizab Persekutua­n AS (Fed) boleh memberi kelulusan bagi penguranga­n kadar seterusnya.

Beliau berkata pasaran sedang memanfaatk­an kadar penguranga­n 25 mata asas yang boleh menjejaska­n sentimen dolar AS.

“Pasaran mata wang kini akan memberi tumpuan kepada keputusan Fed berhubung kadar (minggu depan), yang sepatutnya memberikan petunjuk baik untuk hala tuju dolar AS.

“Seperti biasa, pasaran forex akan memberi tumpuan kepada Amerika Syarikat sebagai panduan ke hadapan. Semakin rendah kadar faedah AS, lebih baik untuk ringgit, “katanya.

Untuk minggu yang baru berakhir, mata wang tempatan meneruskan prestasi kukuh berbanding dolar AS berikutan sentimen dolar yang rapuh.

Ringgit mengakhiri urus niaga minggu ini pada paras lebih tinggi 4.1630/1660 berbanding dolar AS daripada 4.1780/1830 pada Jumaat sebelumnya.

Mata wang tempatan didagangka­n lebih rendah berbanding kebanyakan mata wang utama, kecuali yen.

Ringgit jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0318/0345 daripada 3.0221 / 0261, susut berbanding pound Britain kepada 5.1829/1883 daripada 5.1385/1463, dan turun berbanding euro kepada 4.6205/6255 daripada 4.6079/6147 sebelumnya.

Bagaimanap­un, ringgit naik berbanding yen Jepun kepada 3.8550/8581 daripada 3.9050/9101.

Pasaran akan ditutup pada hari ini bersempena dengan sambutan Hari Malaysia dan akan dibuka semula pada Selasa. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia