Utusan Borneo (Sabah)

Kontrak hadapan MSM dijangka diniagakan dalam jajaran kecil

-

KUALA LUMPUR:

Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif dijangka diniagakan pada jajaran kecil antara RM2,010 dan RM2,100 satu tan minggu ini, kata seorang peniaga.

Peniaga kanan Interband Group of Companies Jim Teh berkata sentimen pasaran terjejas oleh langkah India untuk menaikkan cukai minyak sawit ditapis dari Malaysia.

“Pasaran akan diniagakan dalam jajaran kecil minggu ini, juga disebabkan oleh minggu dagangan yang lebih pendek,” katanya kepada Bernama.

Pasaran akan ditutup pada Isnin bersempena cuti umum sambutan Hari Malaysia. Pasaran akan dibuka semula pada Selasa.

India baru-baru ini menaikkan cukai minyak sawit ditapis dari Malaysia kepada 50 peratus daripada 45 peratus untuk enam bulan bagi mengurangk­an import dan mengukuhka­n syarikat penapisan tempatan.

Negara itu, pengimport minyak boleh dimakan terbesar dunia, ketika ini mengenakan cukai import 40 peratus terhadap minyak sawit mentah dan 50 peratus ke atas minyak sawit ditapis.

Pada minggu yang baru berakhir yang juga lebih pendek bersempena cuti umum, niaga hadapan MSM diniagakan bercampur-campur, terutamany­a dipengaruh­i pergerakan ringgit berbanding dolar AS, harga minyak kacang soya, serta peningkata­n kebimbanga­n terhadap eksport lebih lemah pada minggu akan datang.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, kontrak niaga hadapan MSM bagi September 2019 dan November 2019 masing-masing susut RM11 kepada RM2,105 satu tan dan RM2,190 satu tan, manakala Oktober 2019 turun RM8 kepada RM2,160 satu tan dan Disember 2019 jatuh RM17 kepada RM2,221 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan mengecil kepada 218,151 lot daripada 222,973 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentinga­n terbuka meningkat kepada 229,870 kontrak daripada 216,532 kontrak.

Di pasaran fizikal, harga MSM bagi September Selatan turun RM20 kepada RM2,120 satu tan daripada RM2,140 satu tan.

Pasaran ditutup pada Isnin lepas bersempena dengan sambutan ulang tahun Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia