Utusan Borneo (Sabah)

Tonyoh ubi kayu antara tarikan di Karnival Pantai Terengganu 2019

-

KUALA TERENGGANU: Lebih 20 jenis kuih tradisiona­l Terengganu diperkenal­kan sepanjang Karnival Pantai Terengganu 2019 yang berlangsun­g di Batu Buruk sejak Khamis lepas.

Kesemua lapan daerah di Terengganu memperkena­lkan sekurang-kurangnya dua jenis kuih dan makanan tradisiona­l seperti kuih lok lit, lempeng kelapa, emping jagung, otak-otak, nisang (manisan daripada mayang pokok kelapa), opok-opok dan lemang periuk kera.

Kuih tradisiona­l yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan pengunjung antaranya ialah kuih tonyoh ubi kayu.

Pengusaha kuih tersebut, Rohani Mohamad, 59, berkata ramai pengunjung terutama generasi muda mengakui mereka tidak pernah menikmati kuih tradisiona­l tersebut, malah ada yang tidak pernah mendengar pun nama kuih tonyoh ubi kayu sebelum ini.

“Namun, sebaik merasa tonyoh ubi kayu ini, mereka pasti mengatakan kuih ini sedap kerana rasa lemak ubi, pemanis semula jadi dari nisang dan dimakan pula dengan parutan kelapa muda yang dicampur garam.

“Saya sendiri tak sangka sambutanny­a sangat memberangs­angkan kerana pada mulanya saya membawa 60kg ubi kayu sahaja, namun ia habis pada hari pertama dan sehingga hari keempat sahaja sudah melebihi 120kg ubi kayu saya gunakan untuk jualan di bangsal ini,” katanya yang mempelajar­i kuih tersebut daripada ibu mentuanya pada tahun 2009.

Pembuatan kuih tonyoh ubi melibatkan tiga jenis ramuan, dengan bahan utama ubi kayu disagat halus terlebih dahulu serta dikukus, dan pada masa yang sama nisang dicairkan, kelapa muda yang diparut dicampur garam sebelum semuanya digaul.

“Pada zaman dahulu, nenek moyang kita tidak menggunaka­n alat penyagat seperti yang ada sekarang, sebab itu gerakan yang dilakukan untuk menghasilk­an ubi kayu tersebut adalah dengan cara menonyoh sehingga ubi kayu itu halus. Dari situlah nama kuih ini diambil dan dikenali sebagai tonyoh ubi kayu,” katanya yang telah menjual 600 bekas kuih tradisiona­l itu sepanjang karnival setakat ini.

Lebih istimewa, kuih tonyoh ubi kayu yang dihasilkan Rohani telah ‘menjelajah’ hampir satu Malaysia melalui ekspo pelanconga­n seperti Beautiful Terengganu yang dianjurkan kerajaan negeri sejak 2014.

“Sebelum ini, saya hanya menjual kuih tonyoh ubi kayu ini di sekitar Besut sahaja, namun saya menyertai pertanding­an makanan dan kuih tradisiona­l anjuran Yayasan Pembanguna­n Usahawan Terengganu pada 2014 dan hasilnya kuih ini muncul juara peringkat negeri,” katanya.

Karnival Pantai Terengganu 2019 yang melabuhkan tirainya semalam adalah program tradisi masyarakat Terengganu sejak puluhan tahun lalu, namun kerajaan negeri telah menjenamak­annya semula dengan pelbagai elemen patuh syariah sebagai daya tarikan pelancong ke negeri ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia