Utusan Borneo (Sabah)

Terjemah kecintaan kepada negara

Warga Mengkabong sambut Hari Malaysia dengan aktiviti perarakan perahu

-

TUARAN: Hari Malaysia yang diraikan pada 16 September setiap tahun membawa erti signifikan bagi setiap rakyat di negara ini, khususnya di negeri Sabah.

Bagi warga Kampung Mengkabong, di sini, jerebu tidak menjadi penghalang untuk meneruskan sambutan Hari Malaysia mereka yang unik apabila diisi dengan aktiviti Perarakan Perahu Nelayan di Jeti Kampung Buansa, Sungai Mengkabong.

Lebih seratus perahu nelayan menyertai perarakan itu dan mereka juga merupakan peserta pertanding­an lumba perahu yang menjadi pengisian sambutan Hari Malaysia.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang merasmikan majlis itu berkata, warga kampung menterjema­hkan kecintaan dan menzahirka­n terima kasih mereka melalui perarakan perahu nelayan yang membawa Jalur Gemilang dan bendera negeri Sabah merentasi perairan kampung dan Sungai Mengkabong.

Katanya, inisiatif yang ditunjukka­n oleh warga kampung serta pihak yang terlibat dalam program itu wajar dipuji.

“Ini kerana, ia dapat menyatupad­ukan masyarakat dalam semangat kerjasama untuk menjayakan sambutan Hari Malaysia yang amat bermakna dan juga bukti sokongan atas nikmat perpaduan yang telah lama dikecapi,” katanya.

Hajiji yang juga ADUN Sulaman berkata, Kampung Mengkabong adalah sebuah perkampung­an nelayan tradisi yang sudah lama wujud.

“Apa yang membanggak­an saya ialah semangat mereka untuk sama-sama merayakan Hari Malaysia ini,” katanya.

Beliau juga menzahirka­n keterujaan dan rasa bangga kerana sambutan Hari Malaysia bukan sahaja diraikan di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah, tetapi juga di peringkat kampung.

Hajiji juga menyeru agar rakyat terus menyokong setiap usaha yang digembleng kerajaan dalam memastikan agenda membangun dan memajukan negara ini menjadi kenyataan.

Beliau turut menggesa rakyat agar terus memelihara perpaduan dan kerjasama demi negara Malaysia yang tercinta.

“Rakyat Malaysia tanpa mengira suku kaum, keturunan dan kepercayaa­n agama harus mengingati dan meraikan Hari Malaysia yang bersejarah ini,” katanya.

Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah Tuaran Awang Yusuf Osman, Rosman Awang (Pengurus Persatuan Nelayan Kawasan Tuaran), Roslan Abdullah (Pengerusi Persatuan Peladang Kawasan Tuaran) dan Hayati Majat (pengerusi penganjur).

 ??  ?? RASMI: Hajiji (kanan) ketika merasmikan sambutan Hari Malaysia anjuran Persatuan Nelayan Kawasan Tuaran di Mengkabong.
RASMI: Hajiji (kanan) ketika merasmikan sambutan Hari Malaysia anjuran Persatuan Nelayan Kawasan Tuaran di Mengkabong.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia