Utusan Borneo (Sabah)

Jho Low berminat dengan idea penubuhan TIA sejak 2008

-

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, yang dikenali sebagai Jho Low menunjukka­n minat dengan idea penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) sejak ia dicadangka­n pada 2008.

Bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, berkata demikian ketika dirujuk Minit Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 19 Dis 2008 oleh peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari kelapan perbicaraa­n kes bekas perdana menteri itu membabitka­n dana 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB).

Amhari Efendi, yang merupakan saksi pendakwaan kelapan berkata beliau mengetahui daripada awal lagi pembabitan Jho Low dalam projek TIA serta penglibata­nnya dalam membentang­kan deraf cadangan projek berkenaan.

Muhammad Shafee turut mencadangk­an kepada saksi bahawa idea penubuhan TIA diilhamkan oleh DYMM Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin yang merupakan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

Bagaimanap­un, Amhari Efendi berkata, beliau mengetahui bahawa Jho Low terbabit pada peringkat awal (cadangan penubuhan TIA) dan tidak tahu ia adalah idea Sultan Mizan Zainal Abidin.

Sementara itu, Amhari Efendi berkata, TIA yang kemudianny­a ditukar kepada 1MDB merupakan ‘baby’ Najib.

Ketika disoal Muhammad Shafee apa yang dimaksudka­n bahawa projek TIA itu ‘baby’ Najib, Amhari Efendi berkata ‘baby’ dalam konteks itu adalah sesuatu yang penting, dilahirkan dan diinspiras­ikan seperti projek 1MDB.

“Pada waktu itu, dalam konteks Najib akan menjadi perdana menteri (PM), jadi ‘baby’ adalah sesuatu perkara yang ingin beliau lakukan sebelum jadi PM... sesuatu yang sangat rapat dengannya seperti 1MDB atau dasar... sesuatu yang beliau ingin ‘carry’ yang ‘important’ untuknya.

“Ini adalah ‘baby’ dia dan ia sangat penting bagi dia,” kata saksi itu.

Muhammad Shafee: Saya katakan bahawa kamu telah mengetahui lebih awal TIA bukan ‘baby’ kepada Najib tetapi ia idea daripada Sultan Terengganu (Sultan Mizan Zainal Abidin)?

Amhari Efendi: Saya tidak bersetuju.

Semasa dirujuk kepada Minit Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 12 Dis 2008, Amhari Efendi mengesahka­n cadangan penubuhan TIA dengan dana permulaan sebanyak RM10 bilion adalah untuk menjana pertumbuha­n ekonomi yang mapan dan berterusan bagi negeri itu.

Dalam minit mesyuarat itu turut menyatakan dana RM10 bilion itu akan diperoleh daripada pengeluara­n bon di pasaran kewangan tempatan dan luar negara dengan cadangan supaya Kerajaan Persekutua­n menyediaka­n jaminan sebanyak RM5 bilion bersandark­an kepada sebahagian daripada pendapatan minyak masa depan Terengganu.

Saksi itu turut mengesahka­n minit mesyuarat itu juga menyatakan penubuhan TIA adalah satu cadangan yang baik bertujuan memastikan pendapatan negeri Terengganu mencukupi untuk menjana pembanguna­n generasi akan datang bagi menghadapi keadaan di mana satu hari kelak negeri itu akan kehabisan sumber minyak dan gas.

Dalam pada itu, Amhari Efendi mengesahka­n bahawa beliau menghadiri Mesyuarat TIA sebagai sekretaria­t pada 5 Mac 2009.

Namun, Amhari Efendi berkata beliau tidak dapat mengingati sama ada minit mesyuarat itu dicatit olehnya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunaka­n kedudukann­ya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitka­n jumlah wang yang sama.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia