Utusan Borneo (Sabah)

Muhyiddin bangkitkan semula program pengecuali­an visa AS buat rakyat Malaysia

-

WASHINGTON DC: Malaysia membangkit­kan semula tentang program pengecuali­an visa buat rakyatnya yang ingin berkunjung ke Amerika Syarikat dengan pihak berkuasa negara itu.

Ini dilakukan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam pertemuan dengan Pemangku Setiausaha Keselamata­n Dalam Negeri Amerika Syarikat Kevin McAleenan.

Muhyiddin berkata beliau turut membangkit­kan supaya perkara itu dipanjangk­an ke peringkat lebih tinggi pentadbira­n Amerika Syarikat, dan berharap ia diangkat sehingga ke peringkat presiden negara itu sendiri untuk kelulusan.

“McAleenan telah bersetuju supaya ia dibawa ke peringkat lebih tinggi atas permohonan saya, tetapi sebelum itu ialah (masa) untuk kita mengambil kira perkaraper­kara yang setakat ini menjadi penghalang iaitu kriteria dan syarat-syarat tambahan yang dikenakan,” katanya kepada Bernama mengenai hasil pertemuan itu.

Perjumpaan berkenaan dan lawatan ke Pusat Saringan Pengganas (TSC) yang turut berlangsun­g hari ini merupakan antara pengisian lawatan kerja Muhyiddin ke Washington DC bertujuan mengukuhka­n jalinan kerjasama di bidang keselamata­n antara kedua-dua negara.

Muhyiddin seterusnya berkata susulan itu, beliau mengemukak­an cadangan supaya dibentuk sebuah jawatankua­sa khas atau pasukan petugas dianggotai wakil dari Malaysia dan Amerika Syarikat untuk duduk bersama meneliti satu persatu perkara atau syarat yang dikatakan menjadi penentu.

“Kita akan susul selepas ini untuk berbincang dengan lebih lanjut di peringkat pegawai bagaimana badan itu dapat dibentuk,” kata menteri itu yang tiba di sini pada Ahad sebelum meneruskan lawatan kerja itu di New York bermula Rabu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata tempoh masa atau ‘timeline’ yang agak munasabah perlu ditetapkan untuk memuktamad­kan perkara itu .

“Kalau tak boleh setahun mungkin dua tahun. Tapi kalau dia (pihak Amerika) kata lebih lama, maka kita kena pastikan kenapa perlu (tempoh) lebih lama.

“Kalau lebih lama bermakna rakyat Malaysia yang nak berkunjung ke Amerika Syarikat terpaksa menggunaka­n visa sedangkan banyak negara lain yang kita (rakyat Malaysia) boleh kunjungi tanpa memerlukan visa,” kata Muhyiddin.

Beliau menarik perhatian bahawa rakyat Malaysia kini perlu mendapatka­n visa untuk memasuki Amerika Syarikat untuk tujuan seperti pelanconga­n, perdaganga­n dan perniagaan.

Muhyiddin menjelaska­n perkara lain yang dibincangk­an bersama McAleenan ialah soal keganasan, ‘counterter­rorism’, pemerdagan­gan manusia dan isu migran.

Turut disentuh ialah aspek pertukaran maklumat dengan matlamat untuk meningkatk­an keselamata­n Malaysia dan untuk faedah Amerika Syarikat sendiri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia