Utusan Borneo (Sabah)

Pasukan bebas akan siasat kematian pelajar akibat TB

-

GEORGE TOWN: Kementeria­n Kesihatan akan menubuhkan satu pasukan siasatan bebas untuk menyiasat prosedur dan proses rawatan yang diberikan terhadap seorang pelajar perempuan berumur 19 tahun, Carmen Yee, yang meninggal dunia akibat penyakit tuberkulos­is (TB), Ogos lepas.

Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata pasukan siasatan yang dianggotai pakar-pakar dari negeri lain itu akan menyiasat sama ada berlaku kecuaian dalam rawatan terhadap pelajar itu.

“Kami boleh mulakan siasatan dalam tempoh sebulan, dua bulan lagi. Kami akan tetapkan tarikh untuk menubuhkan pasukan ini dalam masa dua minggu. Ibu pejabat kementeria­n akan mengetuai pasukan siasatan bebas ini,” katanya pada sidang media di Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini semalam.

Terdahulu, Dr Lee bersama Pengarah Kesihatan Negeri Dr Asmayani Khalib dan Pengarah HPP Datuk Dr Norsidah Ismail mengadakan pertemuan bersama anggota keluarga Yee.

Pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Heng Ee, di sini itu meninggal dunia akibat jangkitan TB atau batuk kering pada 27 Ogos lepas selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP pada 23 Ogos.

Mengulas lanjut, Dr Lee berkata pihak hospital telah menjalanka­n saringan X-ray dan ujian mantoux (ujian kulit) terhadap 376 individu yang mempunyai kontak dengan Yee termasuk anggota keluarga dan warga sekolah.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 33 individu positif ujian mantoux di mana jangkitan TB Laten (LTBI) dikesan pada mereka, namun jangkitan itu tidak berbahaya dan tidak mudah berjangkit.

“Tidak ada seorang daripada 376 individu ini yang ada aktif TB. Ini bermakna risiko untuk TB merebak tiada. Setakat ini tidak ada kesan yang menunjukka­n kuman itu telah merebak kepada orang lain,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia