Utusan Borneo (Sabah)

LZS tubuhkan ‘Al-Biruni Zakat Selangor’, bantu kanak-kanak miskin bandar

-

PETALING JAYA: Dalam usaha membantu masyarakat miskin di bandar yang terus meningkat setiap tahun, Lembaga Zakat Selangor (LZS) menubuhkan sebuah Pusat Pembelajar­an dan Inovasi Kanak-kanak: Al-Biruni Zakat Selangor, di sebuah Pangsapuri Desa Mentari (PPR), Petaling Jaya.

Ketua Pegawai Operasi Zakat Selangor Ariffa Ariffin berkata mengikut kajian, sejak bulan Ogos, kadar keluarga fakir miskin di Selangor meningkat daripada 40,000 hingga 54,000 dan menjangkak­an pada tahun hadapan, kadar itu akan meningkat hingga 70,000 keluarga di negeri itu.

Menurut beliau majoriti masyarakat miskin bandar tinggal di kawasan flat jenis Program Perumahan Rakyat (PPR) yang hanya bersaiz lebih kurang 850 kaki persegi (79 meter persegi), dan di situ juga tempat anak-anak mereka makan, tidur, dan belajar. Ia juga menempatka­n ahli keluarga lain seperti datuk nenek mereka dan tiada ruang untuk kanak-kanak ini melakukan aktiviti seperti ulang kaji dan lain-lain.

“LZS mengambil inisiatif untuk menyewa dua buah rumah kedai di Blok 9 dan 10 PPR Desa Mentari di Petaling Jaya yang berada di kawasan bandar besar di mana 60 peratus pendudukny­a adalah Melayu dan beragama Islam. Kami juga melibatkan Adab Youth Garage sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) dalam operasi pusat pembelajar­an dan inovasi kanak-kanak ini,” katanya kepada media di Al-Biruni Zakat Selangor, Pangsapuri Desa Mentari, Petaling Jaya, di sini, semalam.

“Setiap malam dalam 30 hingga 40 orang kanakkanak berusia 7 hingga 17 tahun akan datang untuk menyiapkan kerja rumah, solat berjemaah, menonton televisyen, bermain komputer, dan bersosial, kerana tanpa tempat ini, tiada tempat anak-anak ini berkumpul untuk aktiviti ulang kaji pembelajar­an, kerana kesibukan ibu bapa yang bekerja sampai dua tiga syif, dan ruangan rumah yang terlalu padat,” katanya.

Ariffa berkata semua aktiviti di pusat itu adalah baik untuk kanak-kanak, daripada membiar mereka terjebak dengan gejala negatif ataupun merayau di tempat yang tidak diketahui ibu bapa mereka.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia