Utusan Borneo (Sabah)

Kanak-kanak perempuan, bapa antara tiga yang maut dalam kemalangan

-

JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak perempuan bersama bapanya serta seorang lagi penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Tanjung Kupang dekat Gelang Patah, di sini, tengah malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata kemalangan di kawasan selekoh pada kira-kira jam 12.30 tengah malam terbabit menyebabka­n kanak-kanak berumur setahun itu maut akibat cedera di kepala manakala bapanya, rakyat Bangladesh berumur 32 tahun, yang menunggang motosikal jenis Star SU110 maut akibat cedera parah di kepala, badan dan kaki.

“Seorang lagi penunggang yang maut pula adalah lelaki berumur 26 tahun, yang menunggang motosikal jenis Honda dan bekerja di Pelabuhan Tanjung Pelepas, di sini. Lelaki itu turut cedera di kepala, badan dan kaki,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Dzulkhairi berkata kemalangan dipercayai berlaku ketika kanak-kanak perempuan bersama bapanya, yang merupakan seorang pekebun itu sedang dalam perjalanan dari arah Gelang Patah menghala ke Pendas.

“Mereka dipercayai dilanggar dari sebelah kiri dari arah yang sama oleh penunggang motosikal Honda terbabit semasa melalui kawasan jalan yang berselekoh,” katanya.

Beliau berkata akibat kemalangan tersebut, kanakkanak itu bersama bapanya tercampak di atas jalan dan maut di lokasi kejadian.

Penunggang motosikal Honda turut maut di tempat kejadian dan dipercayai kecuaianny­a semasa melalui kawasan selekoh itu menyebabka­nnya melanggar tepi sebelah kiri motosikal dinaiki dua beranak berkenaan.

Dzulkhairi berkata mayat kanak-kanak dan bapanya dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai manakala mayat penunggang motosikal Honda dibawa ke Hospital Sultanah Aminah, di sini, untuk bedah siasat.

Kemalangan terbabit katanya, berlaku dalam keadaan cuaca baik dan kini disiasat lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia