Utusan Borneo (Sabah)

Murray julang kejuaraan ATP pertama sejak Mac 2017

-

ANTWERP, Belgium: Andy Murray berkata beliau berasa “sangat bangga” selepas memenangi kejuaraan ATP yang pertama beliau sejak bulan Mac 2017 apabila menewaskan Stanislas Wawrinka 3-6, 6-4 dan 6-4 pada final kejohanan di Antwerp Ahad lepas.

Bekas pemain nombor satu dunia itu, yang pernah membayangk­an untuk bersara awal dari sukan tenis pada awal tahun ini sebelum menjalani pembedahan yang menyelamat kariernya, bangkit dari ketinggala­n set pertama dan 1-3 pada set kedua sebelum memenangi kejuaraan yang ke-46 dalam kariernya.

“Ia sangat bermakna sekali. Beberapa tahun terakhir ini sangat sukar bagi saya,” kata Murray, yang gagal menahan sebak pada akhir permainan,

“Saya dan Stan mengalami banyak kecederaan dalam beberapa tahun terakhir. Ia sangat hebat untuk kembali beraksi, menentang beliau di final dan saya fikir kami bermain dengan sangat hebat sekali.”

“Saya tidak pernah menjangka untuk berada dalam situasi seperti ini (muncul juara). Saya berasa sangat gembira,” tambah Murray, yang berada pada ranking ke-243 dunia sebelum perlawanan.

Murray menjadi juara ATP yang berada di ranking paling bawah sejak pemain ranking ke-355 dunia, Pablo Andujar, muncul juara di Terbuka Marrakech pada 2018.

“Saya benar-benar menikmati minggu saya di sini. Suasana di sini pada beberapa hari terakhir cukup luar biasa. Saya berasa sangat bangga untuk menang minggu ini.”

Wawrinka, yang juga memburu kejuaraan pertama beliau dalam tempoh lebih dari dua tahun, memberikan pujian kepada lawannya, yang pada bulan Januari mendedahka­n beliau sentiasa merasai kesakitan pada bahagian pinggulnya. Murray membuat pengumuman penuh emosi pada sidang media di Terbuka Australia pada bulan Januari di mana beliau merancang untuk bersara di Wimbledon tahun ini kerana kecederaan­nya.

 ?? — Gambar AFP ?? BANGGA: Murray bersama trofi kejuaraan selepas tamat perlawanan di Antwerp, Belgium pada Ahad lepas.
— Gambar AFP BANGGA: Murray bersama trofi kejuaraan selepas tamat perlawanan di Antwerp, Belgium pada Ahad lepas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia