Utusan Borneo (Sabah)

Pesawah dakwa kerugian hampir RM1 juta akibat cuaca panas

-

POKOK SENA: Pesawah di kawasan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pokok Sena di sini, mendakwa mengalami kerugian hampir RM1 juta apabila lebih 72 hektar sawah mereka, musnah ekoran cuaca panas sejak sebulan lalu.

Ketua Unit PPK itu, Azami Syawal berkata keadaan itu melibatkan seramai 35 pesawah, yang kebanyakan tanaman mereka kekeringan dan mati, selain tanah sawah merekah akibat tiada air.

Walaupun sawah di sini di luar kelolaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), namun tanahnya yang subur telah menyumbang lebih 700 tan metrik hasil pengeluara­n di Pokok Sena, namun tidak pada musim ini, apabila kemarau berlaku lebih awal dan kesannya amat buruk.

“Sebanyak 15 hektar sawah saya sendiri turut musnah dan terpaksa menanggung kerugian puluhan ribu ringgit, bagi musim seterusnya saya tak ada modal lagi dan berharap kerajaan dapat membantu meringanka­n beban kami di sini,” katanya.

Terdahulu, beliau dan pesawah di situ menerima kunjungan Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, yang turut meninjau keadaan sawah di situ.

Seorang lagi pesawah Syukor Arip, 46, pula berkata dia kini buntu memikirkan nasib yang menimpanya dan berharap ada bantuan atau ganti rugi, yang disediakan kerajaan bagi membolehka­n mereka mengusahak­an tanaman itu pada musim akan datang, yang dijadualka­n April depan.

“Rata-rata bergantung pada hasil padi sahaja, jika padi tak dapat dituai, kami tak ada duit untuk buat bendang lagi, duit yang ada cukup untuk belanja dapur dan menyara persekolah­an anak-anak sahaja,” katanya.

Terdahulu, Mahfuz yang turut mengadakan dialog bersama sebahagian pesawah yang terjejas di sini berkata, kerajaan prihatin dengan masalah yang dihadapi dan akan berusaha membantu mereka.

Katanya, beliau telah menghubung­i Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub pagi tadi, bagi menyatakan perkara itu dan dimaklumka­n bahawa kementeria­n itu akan mempertimb­angkan bantuan atau ganti rugi, kepada petani yang terjejas.

“Saya minta petani buat laporan kerosakan untuk proses bancian oleh Jabatan Pertanian... sebagai langkah penyelesai­an jangka masa panjang, saya sarankan pihak berkenaan membuat saluran terus dari Sungai Bukit Pinang ke sawah di sini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia