Utusan Borneo (Sabah)

Menyanggah perang persepsi minyak sawit

Kerajaan perlu mengemukak­an jalan penyelesai­an yang lebih bercirikan ‘menang-menang’

-

KUALA LUMPUR: Paparan imej seekor orang utan bertarung nyawa dengan latar belakang kepulan asap tebal kebakaran hutan yang dikaitkan dengan penanaman sawit, terbukti turut berperanan dalam mempengaru­hi reputasi komoditi itu di peringkat dunia.

Namun, apakah imej berkenaan satu realiti atau sekadar mainan persepsi yang sengaja dicetuskan pihak tertentu berkepenti­ngan yang mahu meracuni sentimen global terhadap minyak sawit?

Hakikatnya, aktiviti penanaman kacang soya masih menjadi punca utama pembasmian hutan di Lembangan Amazon sehinggaka­n turut mengancam nyawa haiwan di kawasan tersebut.

Keadaan itu dibuktikan menerusi dapatan kajian pelbagai institusi penyelidik­an termasuk Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Yale.

Ironinya, ketika pelbagai tuduhan kononnya minyak sawit membawa ancaman dan bahaya disebarlua­skan, ladang yang menjadi punca kerosakan alam sekitar sebaliknya ‘dilindungi,’ malah dilabelkan sebagai amalan wajar.

Apa yang jelas, ketika perang minyak makan iaitu tiga yang utama - biji sesawi, bunga matahari dan kacang soya terus dilancarka­n serata dunia terutama di Eropah dengan minyak sawit keluaran negara-negara ASEAN iaitu Malaysia dan Indonesia, perkara pokok yang amat diperlukan adalah satu jalan penyelesai­an yang berkesan.

Mengulas perkara itu, perintis penyelidik­an kelapa sawit Tan Sri Dr Augustine Ong Soon Hock berpendapa­t kerajaan perlu mengemukak­an jalan penyelesai­an yang lebih bercirikan ‘menang-menang’ atau manfaat bersama dengan negara pengeluar minyak makan utama lain.

Tegasnya, ini kerana kempen antiminyak sawit yang berterusan tidak hanya menjejaska­n ekonomi Malaysia tetapi turut memberi impak kepada industri makanan dan tenaga Eropah.

“Pendekatan saling berbalah itu tidak mendatangk­an manfaat untuk sesiapa pun. Dari sudut seorang penyelidik, satu-satunya cara bagi menangani isu ini adalah dengan mengemukak­an data dan maklumat terbaik mengenai manfaat minyak sawit terhadap ekonomi dunia,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Menurutnya, ini bukan kali pertama industri minyak sawit berdepan serangan sedemikian kerana telah berada di pasaran pada akhir 1980-an yang menyaksika­n maklumat tidak tepat mengenai komoditi negara itu terus dilemparka­n dan disebarkan.

“Pemimpin industri perlu tampil, berdialog dan bekerjasam­a bagi menjayakan lagi industri minyak makan. Kita perlu memberi tumpuan untuk menjadikan usaha pengeluara­n minyak sawit itu lebih mesra alam dan bukan sebaliknya,” katanya.

Data Majlis Minyak Sawit Malaysia bagi tempoh Januari hingga Oktober 2019 menunjukka­n eksport minyak sawit Malaysia ke rantau Eropah berjumlah 1.8 juta tan metrik iaitu meningkat 3.43 peratus berbanding tempoh sama pada 2018.

Apa yang pasti, di sebalik keputusan membabitka­n biobahan api berasaskan sawit, eksport minyak sawit Malaysia ke Kesatuan Eropah (EU) terus meningkat berikutan permintaan tinggi apabila harga bahan bakar biodiesel tinggi selain bekalan minyak biji sawi yang tidak mencukupi dalam pasaran domestik EU.

Malah blok EU turut mengugut untuk menyekat import biodiesel berasaskan sawit ke benua itu kecuali minyak sawit dihasilkan secara lestari mengikut Akta Perwakilan EU.

Dalam Deklarasi Amsterdam, negara-negara anggota EU seperti Denmark, Perancis, Jerman, Itali, Belanda, Norway dan United Kingdom telah menyatakan minat untuk mengimport minyak sawit mapan sepenuhnya mulai 2020.

Susulan itu, piawaian Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) adalah antara langkah utama dilaksanak­an Kementeria­n Industri Utama bagi menangani persepsi negatif selain menggalakk­an pengurusan minyak sawit secara lestari kepada pengguna dan kerajaan.

Mengulas perkara itu, Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim berkata Malaysia perlu memenuhi permintaan pelanggan termasuk di negara maju yang mahukan pengeluara­n minyak sawit secara lestari dan menerusi kaedah yang mesra alam.

“Permintaan terhadap minyak sawit sentiasa tinggi tetapi mereka mahukan hasil yang dikeluarka­n secara mapan. Oleh itu, sebagai pengeluar, kita perlu mengikut kehendak pengguna.”

Untuk rekod, sebanyak 62.4 peratus atau 3.64 juta hektar ladang sawit di negara ini telah mendapat pensijilan itu.

Selain itu, kerajaan juga telah memberi kelulusan kepada Sekretaria­t Persidanga­n Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Mampan (RSPO) untuk menerbitka­n peta konsesi sawit ahli-ahlinya di Semenanjun­g Malaysia dan Sarawak menerusi aplikasi peta interaktif­nya, GeoRSPO.

Langkah tersebut diharapkan dapat menyuntik aspek ketelusan bagi sektor minyak sawit lestari. Peta itu tidak diterbitka­n sebelum ini berikutan kekaburan undang-undang mengenai pendedahan­nya kepada orang awam.

Menurut Ong, sejak sekian lamanya minyak sawit telah disalahert­ikan oleh pihak Barat walaupun kajian saintifik menunjukka­n minyak sawit adalah lebih mesra alam dan sihat berbanding minyak lain.

“Satu hektar ladang sawit boleh mengeluark­an hasil minyak yang empat kali lebih banyak berbanding tanah yang ditanam dengan kacang soya. Oleh itu, menerusi penyelidik­an secara berterusan, saya yakin kita mampu meningkatk­an pengeluara­n tanpa perlu menambah kawasan tanaman,” katanya.

Beliau yang juga diiktiraf di peringkat antarabang­sa dalam bidang kimia lipid berkata dari segi sebatian kimia, minyak sawit juga lebih stabil terutama dalam suhu tinggi berbanding minyak makan lain.

“Selain itu, olein sawit yang merupakan cecair diperoleh dalam proses awal, juga memiliki manfaat sama seperti minyak zaitun perahan pertama. Malah, minyak sawit turut kaya dengan karotena yang dikenali sebagai anti-kanser serta kaya vitamin A,” katanya.

Menyingkap sejarah, kelapa sawit dibawa dan diperkenal­kan untuk pertama kali di Malaysia sebagai tumbuhan hiasan pada 1870 dan pada awal 1970-an di bawah pimpinan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein, industri tersebut mencatat perkembang­an pesat dan membantu ribuan rakyat Malaysia yang keluar daripada belenggu kemiskinan.

Sehingga kini, industri minyak sawit terus memainkan peranan penting dalam pertumbuha­n sektor pertanian menerusi sumbangan tahunan kira-kira 4.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Ia turut merekodkan perolehan tukaran asing yang ketara sebanyak kira-kira RM60 bilion dan menyediaka­n peluang perniagaan kepada lebih sejuta orang termasuk kira-kira 500,000 pekebun kecil.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia