Utusan Borneo (Sabah)

TUJUH BUTIR

- KARYA: KIMS DIWA

SUDAH acap kali aku menegur dan mengingatk­an anak-anakku agar tidak menjatuhka­n walau sebutir nasi ketika makan. Dan setiap kali itu jugalah nasihatku tidak diendahkan. Bagai mencurah air ke daun keladi saja gayanya. Anakanakku, tiga orang masih juga tidak mengendahk­an teguran dan nasihatku. Malah mereka seolah-olah sengaja mencabar kesabarank­u.

“Nasi yang kita makan ini adalah tubuh seorang gadis dusun yang diberi nama Huminodun,” kataku kepada mereka pada suatu malam, selepas makan.

Menjadi kebiasaan dalam keluargaku, selepas makan kami akan duduk menghadap televisyen, sama ada menonton rancangan kegemaran bersama atau sekadar duduk-duduk dan yang bongsu tentulah rancangan kartun jadi pilihannya.

“Siapa pernah dengar cerita Huminodun?” Tanyaku kepada si sulung dan si tengah.

Si bongsu kulihat begitu khusyuk menonton rancangan kartun kegemarann­ya, Sponge bob. Sementara suamiku pastinya hanya mendengar sambil menunggu si bongsu habis menonton rancangan kartun kegemarann­ya itu. Aku yakin benar suamiku pasti tertunggu-tunggu menonton rancangan kegemarann­ya pula, bola sepak, perlawanan antara Manchester United dan Real Madrid. Aku, tidak mempunyai rancangan kegemaran pada waktu-waktu begini kerana aku selalu tiada ruang untuk menonton. Aku biasanya hanya menyibukka­n diri di meja kerjaku di ruang tamu itu.

Aku masih menunggu jawapan si sulung dan si tengah. Namun, jawapan yang aku dapat hanyalah gelengan perlahan beberapa kali dari keduaduany­a. Aku menarik nafas dalam-dalam dan melepaskan perlahan-lahan. Aku cuba memikirkan pendekatan yang paling tepat dalam menceritak­an kepada mereka berdua tentang kisah mitos dan legenda ini dalam kalangan suku kaum dusun.

“Saya ada membaca cerita tentang Unduk Ngadau ma,” kata si bongsu.

Aku tersenyum dan mula mendapat idea. Lalu aku bertanya kepadanya

“Apa yang baby faham tentang cerita di sebalik Unduk Ngadau itu?”

Si bongsu menghadap aku dengan wajah seperti kuntum bunga yang baru mula berputik. Waktu itu aku yakin dia sudah mula melupakan rancangan kartun kegemarann­ya.

“Ma, Unduk Ngadau itu satu pertanding­an ratu cantik dan diraikan atau diadakan pada bulan lima setiap tahun. Ia ada kaitan dengan pesta menuai, “jelas si bongsu.

“Semua orang tahu tentang pesta menuailah baby,” celah si tengah dengan nada seperti anak kucing sedang bergaduh.

Aku hanya mendengar dengan penuh minat perbualan si bongsu dan si tengah tentang ‘Ngunduk Ngadau dan Pesta Menuai’ itu. Setelah pertengkar­an mula menjengah antara mereka berdua, aku masuk campur kerana tidak mahu mereka bergaduh dan aksi lidah tikam menikam berlarutan. Aku mengambil kesempatan itu untuk menjelaska­n kepada mereka tentang budaya Unduk Ngadau dan kaitannya dengan Pesta Menuai. Aku juga menjelaska­n tentang asal usul Unduk Ngadau.

Kataku, Ngunduk Ngadau itu bermula daripada kisah Huminodun. Huminodun anak dewa Kinoingan dan isterinya Suminundu. Kinoingan adalah dewa orang-orang Kadazandus­un suatu ketika dulu. Dikatakan bahawa Huminodun ini seorang gadis paling cantik. Sehinggala­h pada suatu hari masyarakat kadazandus­un mengalami kebuluran kerana negeri mereka dilanda kemarau panjang dan hasil tanaman tidak menjadi. Penduduk kehilangan sumber makanan dan hidup dalam kesusahan dan keperitan. Kematian berlaku di sana sini. Kematian juga tidak mengenal usia dan jantina. Kanak-kanak dan orang tualah yang menjadi mangsa utama kerana mereka golongan yang lemah dan memerlukan makanan. Padi yang ditanam tidak menjadi, ubi yang ditanam tidak berisi. Boleh dikatakan musim kemarau kali ini sangat-sangat menguji kesabaran para petani.

Aku berhenti seketika sambil mataku terus memandang wajah ketiga-tiga anakku itu silih berganti. Aku dapat melihat dengan jelas dari riak wajah mereka, mula khusyuk mendengar ceritaku. Mata si bongsu bulat memandang aku dan tidak berkedip. Aku tahu minat dan tumpuan mereka sudah mula jitu. Aku tersenyum dalam hati kerana aku sudah berjaya menarik perhatian mereka. Aku sambung semula ceritaku. Si bongsu kelihatann­ya memperkema­skan lagi silaannya, dan merenung tepat ke anak mataku.

Dewa orang-orang Kadazandus­un berasa sangat sedih dan susah hati. Akhirnya dewa Kinoingan mengambil keputusan mengorbank­an anaknya Huminodun. Darah Huminodun dicurahkan dan jasadnya disemadika­n di bumi lalu tumbuh sebagai sejenis tumbuhan iaitu padi. Jadi, dikatakan bahawa dari situlah penduduk Kadazandus­un memperoleh sumber makanan. Dipercayai bahawa jelmaan semangat Huminodun telah hidup kembali sebagai Unduk Ngadau dari dalam ‘Kaakanan,’ selepas tujuh hari dia dikorbanka­n. Jasad Huminodun ini diingati dalam perayaan Tadau Kaamatan yang diadakan setiap tahun bagi meraikan hari tuaian, dan memperinga­ti pengorbana­n Huminodun.

“Itulah asal usul Unduk Ngadau,” kataku mengakhiri cerita.

Si tengah terlopong. Si sulung bersahaja seperti tidak percaya dengan ceritaku, manakala si bongsu seperti berfikir dan tidak lama kemudian dia bertanya.

“Ma, maksudnya nasi yang kita makan itu adalah badan si Huminodun?”

Sekali lagi aku tersenyum dan menjelaska­n kepada si bongsu bahawa nasi itu bukan badan Huminodun, ia adalah semangat Huminodun yang meresap dalam padi. Setelah padi diproses menjadi beras dan ditanak menjadi nasi maka semangatny­a seolah-olah ada di situ. Jadi kita tidak boleh membazir, membuang nasi sesuka hati. Sebaik-baiknya nasi itu tidak boleh ada baki di piring walau sebutir jua, nanti semangat padi merajuk.

Si bongsu terlopong seolaholah tidak percaya. Dan dia memang belum memahami cerita tentang Huminodun dan semangat padi tetapi dia sangat memahami tentang pengorbana­n. Huminodun mati demi menghidupk­an orang lain.

“Kesian Huminodun, kan’ ma,” bisiknya perlahan.

Tidak semena-mena si bongsu menghampir­iku dan memeluk aku. Tidak lama kemudian ada isak tangis kedengaran dan bajuku mula basah. Aku jarakkan tubuh si bongsu sedikit dan memandang wajahnya. Air mata si bongsu tumpah dengan derasnya. Ada sendu di dalam tangisnya. Aku terkesan dengan tingkah laku anak bongsuku ini. Asal ada cerita yang menyedihka­n apa tah lagi tentang kematian atau meninggal dunia, dia mudah sangat menitiskan air mata. Kakakkakak­nya pasti mengusik dia ‘ baby ni macam budak-budak lagi, sikit-sikit menangis, tidak malu!’ dan akulah pembela setiap kali si bongsuku ini menjadi ejekan kakak-kakaknya.

Aku memeluk si bongsu dan memujuknya dengan penuh kasih sayang. Hanya beberapa minit, isak tangsinya sudah mengendur. Aku meminta mereka mengemaska­n buku dan menggosok pakaian sekolah sebelum tidur. Si bongsu turut berdiri namun sebelum dia berlalu sempat dia bertanya kepadaku tentang kaitan Huminodun dengan butiran nasi yang jatuh di lantai. Aku tersenyum memandangn­ya.

“Esoklah kita sambung ya,” kataku untuk tidak menghampak­an dia.

Anak sulungku tidak begitu mempercaya­i ceritaku. Katanya mana ada orang sanggup korbankan anak sendiri demi orang lain. Tidak akan ada manusia menjelma menjadi semangat padi semangat itu dan semangat ini. Yang ada hanyalah cerita dongeng. Cerita yang tidak diketahui kebenarann­ya. Itu semua hanyalah bohong belaka. Kata-kata yang meluncur laju di celah bibir anak sulungku berdesing saat ia melewati gegendang telingaku. Hatiku bagai dijentik api. Ia mula membesar apabila tingkah laku si sulung bagai tidak menghormat­i aku dan cerita rakyat yang aku sampaikan. Ada rasa marah di situ namun aku bersabar. Aku dengar sahaja apa yang dikatakan oleh anak sulungku yang sudah berumur lapan belas tahun itu. Walaupun aku didik ia dengan penuh kasih sayang namun kadang-kadang perhatiank­u sebagai ibu dirampas oleh gajet yang sebahagian besar menjadi peneman setia mereka. Aku meminta anak sulungku melayari internet dan mencari cerita tentang Huminodun tetapi ia hanya mencebikka­n bibirnya, menambah luka di hatiku.

Entah mengapa, anak sulungku yang ini sangat degil. Tidak menerima pendapat ibu bapa. Dalam banyak-banyak hal, nasihatku agar tidak menjatuhka­n walau sebutir nasi di lantai benar-benar ditentangn­ya. Katanya, ia cuma dongeng belaka. Tidak rasional. Sekali lagi kata-kata itu bagai busur panah yang melepaskan anak panah dan tepat mengenai jantungku lalu darah pekat mula mengalir. Pedihnya teramat sangat. Aku terkilan dengan kata-kata anak sulungku ini. Setiap kata-kataku berkaitan dengan budaya dan adat resam, berkaitan dengan kepercayaa­n suku kaum Kadazandus­un ditentangn­ya habis-habisan.

“Nasi jatuh di lantai anggap sajalah bukan rezeki kita.”

Aku terkesima mendengar kata-katanya itu. Dia bukan melawan kata-kataku, mungkin dia hanya mahu mempertaha­nkan pendapatny­a, namun cara dia mengungkap­kan pendapatny­a itu seolah-olah menepis kerelevana­n ceritaku berkaitan dengan Huminodun, semangat padi, babarayon dan sebagainya. Inilah bezanya anakanak yang lahir di era globalisas­i dengan zaman jampi serapah dan adat resam dahulu kala.

Ibu bapa dahulu kala, sekali sahaja membuka mulut pun anak sudah memahami dan akur dengan nasihat ibu bapa. Tapi zaman ledakan teknologi ini, memberi cabaran yang maha hebat kepada ibu bapa dan aku sudah mula merasai bahangnya. Kekadang aku berkecil hati dengan kata-kata, ungkapan dan kadang kala tingkah laku anak sulungku ini, satu-satunya anak lelaki yang aku harapkan boleh melindungi dan membantu adikadikny­a perempuan.

“Mama, janji semalam nak sambung cerita Huminodun, kan?” pertanyaan si bongsu menyedarka­n aku.

Aku meminta si bongsu duduk di sebelahku sementara si sulung dan si tengah duduk di kusyen di belakang kami. Ayah mereka masih belum pulang dari beriadah. Aku menelan pekat air liur dan memulakan cerita,

Suatu ketika dulu, sepasang suami isteri tinggal jauh di hutan kerana tidak diterima oleh keluarga lelaki menantunya. Walaupun mereka tinggal jauh dari orang ramai, namun mereka hidup bahagia. Selepas setahun mendirikan rumah tangga, isteri si pemuda mengandung dan melahirkan seorang bayi lakilaki. Si pemuda berusaha keras untuk memenuhi keperluan mereka sekeluarga kerana mereka bukan lagi tinggal berdua tetapi bertiga. Pada suatu hari, si isteri meminta suaminya menjaga anak mereka yang sedang tidur, sementara suaminya berehat dan isteri turun ke sungai untuk mengambil air. Sebelum si isteri keluar, dia berpesan kepada suaminya agar penutup periuk nasi tidak dibuka sehingga ia mendidih dan masak. Si pemuda hanya mengangguk.

Setelah kelibat si isteri hilang dari pandangan mata si suami, dia mula diserbu rasa ingin tahu mengapa isterinya berpesan begitu. Tanpa rasa bersalah dan penuh wasangka, si pemuda melangkah ke dapur dan membuka penutup periuk nasi. Dia mendapati bahawa di dalam periuk itu hanya ada tujuh butir beras. Si pemuda berasa sangat marah namun berusaha mengawal dirinya. Sebaik sahaja isterinya naik ke pondok mereka, dia langsung ke dapur. Dia mempunyai gerak hati yang sangat kuat, lalu bertanya kepada suaminya sebagai pengakuan sama ada suaminya ada membuka penutup periuk itu atau tidak. Sebaik sahaja si suami mengakuiny­a, si isteri terduduk. Dia berasa sangat kecewa. Si isteri menjelaska­n kepada suaminya bahawa kuasa saktinya sudah terhapus. Selama itu mereka hidup senang tanpa berusaha keras kerana dia mempunyai kuasa luar biasa. Isteri si pemuda itu sebenarnya puteri kayangan yang jatuh cinta dengan manusia. Puteri kayangan itu telah disumpah oleh ayahnya bahawa kuasa sakti puteri kayangan akan hilang sebaik sahaja seorang manusia melanggar pantang larang puteri kayangan.

Sejak dari hari itu, mereka berdua terpaksa berkerja keras untuk memenuhi keperluan asas mereka, Tambahan pula, cahaya mata mereka semakin bertambah. Si isteri terpaksa membantu si pemuda mengerjaka­n ladang dan menanam padi bukit. Pemuda sangat menyesal kerana tidak menurut dan mempercaya­i isterinya, malah mencurigai isteri yang sangat baik dan sanggup berkorban itu. Apa kan daya segalanya sudah menjadi bubur. Kitalah keturunan yang terpaksa berhempas pulas dan berkerja keras membuka tanah dan menanam apa-apa sahaja, untuk memenuhi tuntutan kehidupan.

“Jadi, anak-anak mama, apa-apa sahaja pesanan, nasihat orang tua, harus dituruti. Jangan membantah, kerana jika membantah sudah pasti buruk padahnya,” kataku mengakhiri cerita.

Anak bongsuku terlopong mendengar ceritaku. Mungkin dia tidak memahami makna tersirat dalam cerita itu.

“Jika pemuda itu menuruti pesanan isterinya, tidaklah kita bersusah payah sekarang ini,” kataku cuba memberi kefahaman kepada si bongsu.

“Mengapa pula? Pemuda itu, bapa mama?”

Pertanyaan si bongsu itu membangkit­kan rasa tidak senang hati si sulung. Aku hanya memerhati peri laku si sulung. Wajahnya begitu tegang namun masih bersahaja. Aku mengeluh. Ceritaku itu tidak mampu menembusi benteng kedegilan si sulung. Aku mengalah.

“Baby, nasi tu. Jangan ada yang jatuh!”

“Cukup-cukuplah kesilapan masa lalu memberi kesan kepada kita masa kini, jangan kita mengulangi kesilapan itu lagi!”

Suara tinggi anak sulungku mengejutka­n kami. Aku yang baru sahaja menyertai mereka, terkedu. Anak sulungku yang sebelum ini tidak mengendahk­an nasihatku tentang nasi jatuh, tiba-tiba sahaja bersuara kali ini.

Aku ke beranda dan berdiri di sebelah anak sulungku. Aku bertanya kepadanya sebab apa tiba-tiba dia berubah. Aku terpana. Tanpa kusedari air di tubir mataku bergenang dan hampir tumpah, setelah mendengar ceritanya.

Katanya, dua hari lalu ketika waktu rehat, mereka berkumpul di sebuah pondok sambil makan beramai-ramai. Seorang kawannya menegur dia kerana jatuhkan nasi di atas meja. “Hidup kamu begitu senang sehingga membazir makanan. Tapi penduduk di Palestin ada yang tidak makan kerana terlalu miskin! Sedarkah kamu bahawa kita memulakan hari-hari kita dengan sarapan, tetapi kanakkanak di Palestin dan mungkin ada insan lain di sekeliling kita ini yang tidak makan langsung selama berhari-hari!

Kawan baik si sulung juga pertontonk­an satu video bertajuk “Sang Pencerah.” Dan katanya, video itu meninggalk­an kesan yang amat sangat di dalam hatinya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia