Utusan Borneo (Sabah)

Liverpool dan Man United bersua kembali di Anfield

-

LIVERPOOL: Tiga belas bulan selepas perlawanan yang akhirnya menamatkan pembabitan Jose Mourinho sebagai pengurus Manchester United (MU), pasukan Red Devils sekali lagi mendapati diri dibayangi Liverpool menjelang kunjungan semula mereka ke Anfield pada malam ini (Ahad).

Kekalahan 3-1 bagi para pemain Mourinho pada Disember 2018 yang meninggalk­an MU 19 mata di belakang Liverpool di tempat teratas liga ternyata tidak dapat diterima lagi oleh pembuat keputusan kelab.

Namun setahun kemudian, tidak banyak kemajuan dicapai di bawah Ole Gunnar Solskjaer. Kekalahan pada hujung minggu ini akan menyaksika­n jurang antara kedua-dua kelab meningkat kepada 30 mata dengan kelebihan baki satu perlawanan lagi dalam tangan ke atas MU di tempat kelima.

Sebagai pemain, Solskjaer biasa menang dalam permusuhan di antara dua pasukan paling berjaya dalam bola sepak Inggeris.

Warga Norway itu memenangi enam kejuaraan Liga Perdana Inggeris dalam era Alex Ferguson apabila warga Scotland yang suka bergaduh itu menunaikan janji untuk menjatuhka­n Liverpool.

Ferguson memenangi 13 kejuaraan liga pada keseluruha­n, tetapi kejuaraan pertama pada musim 1992/93 menamatkan kemarau selama 26 tahun bagi MU.

Ketika itu, tidak ramai percaya Liverpool, kuasa dominan dalam bola sepak Inggeris pada zaman 70an dan 80an, tidak akan memenangi liga lagi sekurang-kurangnya selama 30 tahun.

Penantian selama tiga dekad itu nampak pasti akan berakhir pada musim ini kerana para pemain Jurgen Klopp mendahului dengan kelebihan 14 mata di depan dalam carta liga, tetapi laluan jauh Liverpool untuk kembali ke tempat teratas adalah amaran untuk MU bagi apa yang mungkin menanti mereka di depan jika mereka tidak bertindak dengan cepat untuk menyekat kemerosota­n.

“Kami sedang berusaha gigih untuk memastikan ia tidak akan berlaku. Biarlah ia menjadi pengajaran bagi kami,” kata Solskjaer pada Jumaat.

“Kami tidak boleh membiarkan diri bermain selama 24 tahun lagi sebelum kami memenangi liga dan saya pasti tidak kerana saya percaya kepada kelab ini. Kami memulakan pembinaan semula sekarang yang saya percaya akan memakan sedikit masa, tetapi kami akan sampai di sana.”

Masalah bagi MU ialah pembinaan semula Solskjaer hanyalah usaha terkini di antara banyak usaha yang setakat ini gagal sejak Ferguson bersara pada 2013.

Liverpool belum tewas dalam liga selama lebih setahun dan sudah mengutip 104 mata daripada 38 perlawanan terakhir mereka berbanding 59 mata bagi MU.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia