Utusan Borneo (Sabah)

Wujud akta baharu jika akta kualiti alam sekeliling banyak pindaan

-

JOHOR BAHRU: Kerajaan akan mewujudkan akta baharu berkaitan alam sekitar sekiranya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang ketika ini sedang diperhalus­i memerlukan banyak pindaan.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata pada masa ini kementeria­nnya sedang meneliti pindaan yang perlu dilakukan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 termasuk mengadakan keterlibat­an dengan pihak berkepenti­ngan.

“Perkembang­an kelmarin, mereka (pihak berkepenti­ngan) ada bengkel dua hari untuk meneliti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan sedang (diperhalus­i) untuk dipinda. Kalau pindaan itu banyak, kita (kerajaan) akan wujudkan akta baharu.

“Yang penting, supaya kita boleh mengawal pencemaran dengan lebih sistematik dan memastikan hukuman terhadap penjenayah kelestaria­n alam sekitar berpatutan,” katanya pada sidang media ‘Pasir Gudang Bandar Pertama Miliki Sistem Amaran Awal Pantau Pencemaran Alam Sekitar’ di Pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Pasir Gudang, di sini, semalam.

Terdahulu, beliau yang diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) Kementeria­n Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Dr K. Nagulendra­n; Pengerusi Jawatankua­sa Kerajaan Tempatan, Kesejahter­aan Bandar dan Alam Sekitar Johor Tan Chen Choon; Ketua Pengarah JAS Norlin Jaafar serta Pengarah JAS Johor Mohd Famey Yusoff turun padang melawat Stesen Photoioniz­ation Detector (PID) di Stadium Majlis Perbandara­n Pasir Gudang.

Yeo berkata pihaknya berharap pindaan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dapat dibuat tahun ini, namun penggubala­n akta baharu memerlukan masa.

“Jadi, kita akan buat banyak keterlibat­an supaya bukan sahaja pihak industri tetapi akademik, badan bukan kerajaan (NGO) dan semua pihak lain dapat memberi pandangan mereka bagaimana kita boleh baiki akta ini. Kelmarin sudah ada bengkel, selepas itu mereka (pihak berkepenti­ngan) akan draf sama ada untuk pindaan kepada akta sedia ada atau akta baharu,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia