Utusan Borneo (Sabah)

Pasir Gudang bandar industri pertama miliki sistem amaran awal pencemaran

-

JOHOR BAHRU: Kawasan Pasir Gudang kini dilengkapi Sistem Amaran Awal Pencemaran Udara bernilai RM6.9 juta yang mampu mengesan bahan pencemar berbahaya dalam udara sekali gus muncul sebagai bandar industri pertama di negara ini yang dilengkapi sistem amaran seumpama itu.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata sistem pengawasan itu akan memantau kualiti udara secara nyata bagi memberi amaran awal sekiranya berlaku sebarang insiden pencemaran.

“Sistem Amaran Awal Pencemaran Udara ini dilengkapi dengan alat penggera untuk mengesan bahan pencemar berbahaya di dalam udara yang mampu memaklumka­n pegawai penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) secara terus sekiranya berlaku pencemaran udara bagi membolehka­n tindakan penguatkua­saan segera diambil terhadap punca pencemaran.

“Ia melibatkan pemasangan 25 Stesen Photoioniz­ation Detector (PID) di 25 lokasi termasuk sekolah di sekitar Pasir Gudang dan enam unit Fourier Transform Infrared Spectrosco­py (FTIR) serta dua unit bergerak Gas Chromatogr­aphy – Mass Spectromet­ry (GCMS) dan Gas Chromatogr­aphy – Flame Ionization Detector (GCFID),” katanya pada sidang media di Pejabat JAS Cawangan Pasir Gudang, di sini semalam.

Terdahulu, beliau yang diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) kementeria­n Dr K. Nagulendra­n; Pengerusi Jawatankua­sa Kerajaan Tempatan, Kesejahter­aan Bandar dan Alam Sekitar Johor Tan Chen Choon; Ketua Pengarah JAS Norlin Jaafar serta Pengarah JAS Johor Mohd Famey Yusoff turut turun padang meninjau operasi Stesen PID di Stadium Majlis Perbandara­n Pasir Gudang dan dua unit bergerak berkenaan.

Yeo berkata selepas insiden pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang Mac tahun lepas, kerajaan tidak mahu kejadian terbabit berulang lalu memikirkan cara untuk memperting­katkan pemantauan industri di kawasan berkenaan.

Beliau berkata sehubungan itu, jika berjaya, Sistem Amaran Awal Pencemaran Udara berkenaan boleh diperluask­an ke kawasan perindustr­ian lain di seluruh negara.

Katanya, orang ramai juga dijangka boleh mendapatka­n maklumat (bacaan kualiti udara) di 25 lokasi PID berkenaan, menerusi laman sesawang JAS, mulai suku kedua tahun ini.

Dalam perkembang­an sama, Yeo berkata JAS melipatgan­dakan aktiviti penguatkua­saaan terhadap kilang dan premis di sekitar Pasir Gudang supaya semua pihak mematuhi sepenuhnya Akta Kualiti Sekeliling 1974 dan peraturan di bawahnya.

Menurutnya, sebanyak 664 pemeriksaa­n dijalankan sepanjang tahun lepas terhadap pihak industri berbanding 460 pada tahun sebelumnya manakala 769 tindakan notis, kompaun, sitaan serta mahkamah dikenakan dalam tempoh sama berbanding 97 tindakan pada tahun sebelumnya.

“Kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap penjenayah kelestaria­n alam sekitar. Suspek yang dikaitkan dengan insiden pencemaran Sungai Kim Kim sudah dihadapkan di mahkamah atas tuduhan gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 yang berada dalam peringkat perbicaraa­n,” katanya.

Menurut Yeo, selain penguatkua­saan di lapangan, JAS turut menjalanka­n pemantauan melalui sistem dalam talian seperti kualiti pelepasan efluen industri menerusi Online Environmen­tal Reporting (OER) dan pergerakan sisa buangan terjadual melalui Electronic Schedule Waste Informatio­n System (E-SWIS) dan sistem itu mampu mengesan pergerakan buangan terjadual daripada industri kepada kemudahan pengolahan atau pelupusan yang dilesenkan oleh JAS.

Pemantauan atau intipan dengan menggunaka­n dron turut dilaksanak­an mulai 23 Okt lepas bertujuan mengesan apa jua pencemaran dan punca pencemaran dengan lebih cepat agar tindakan membendung dapat diambil lebih awal, katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia