Utusan Borneo (Sabah)

Ketengahka­n lebih banyak sektor pelanconga­n pengalaman

-

KUALA LUMPUR: Pemain industri pelanconga­n di negara ini perlu mengetenga­hkan produk yang berasaskan pelanconga­n pengalaman atau ‘experienti­al tourism’ kerana ia dilihat mampu menarik kemasukan pelancong berkualiti, sekali gus menjana pendapatan lumayan jangka panjang kepada negara.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof berkata ramai tidak menyedari pelanconga­n jenis itu mempunyai permintaan tinggi khususnya bagi Malaysia yang kaya dengan keunikan flora dan fauna serta hutan hujan tropika yang dijaga dengan baik.

Sehubungan itu, beliau menggesa lebih ramai pemain industri meneroka dan menceburi cabang pelanconga­n itu yang semakin popular dalam kalangan pelancong antarabang­sa.

“Fokus sektor ini adalah keinginan pelancong. Ada pelancong sanggup berbelanja lebih untuk menikmati dan alami suasana percutian dikeliling­i alam sekitar yang nyaman dan bersih serta melihat lebih dekat hidupan yang pelbagai.

“Mereka ini golongan pengembara yang cintakan alam sekitar dan sanggup membayar lebih kerana menganggap­nya sebagai ‘conservati­on fund’ (dana pemulihara­an) bagi memastikan negara terus memelihara kelestaria­n sesebuah kawasan,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Bernama baru-baru ini.

Pelanconga­n pengalaman adalah cabang pelanconga­n yang tertumpu kepada pengalaman berada di sesuatu negara, bandar atau tempat tertentu dengan mendalami suasana, sejarah, masyarakat tempatan, budaya, makanan dan alam sekitar.

Musa berkata ada pelancong sanggup berbelanja sehingga RM7,000 bagi menikmati pakej menerokai laluan hutan atau lawatan safari bagi melihat hidupan liar seperti orang utan, gajah dan burung.

Beliau berkata walaupun tarikan pelanconga­n utama seperti melawat kawasan popular tetap penting bagi industri pelanconga­n Malaysia, namun ‘experienti­al travels’ (pengembara­an pengalaman) semakin popular dan peluang itu perlu diambil sebaik-baiknya.

Mengulas lanjut, Musa berkata lebih unik ialah kaedah promosi atau publisiti pelanconga­n jenis itu yang lebih meluas dan menjimatka­n kos, iaitu menerusi perkongsia­n testimoni ‘daripada mulut ke mulut’.

“Selepas mereka merasai pengalaman di sesuatu negara, mereka kongsikan pengalaman itu sebagai testimoni kepada komuniti tempatan di negara asal, malah komuniti antarabang­sa.

“Jika tidak secara mulut ke mulut, mereka akan berkongsi kisah mereka menerusi laman media sosial seperti Instagram atau Twitter yang secara langsung memberi promosi lebih luas,” tambahnya.

Beliau berkata antara cara terbaik bagi pelancong merasai kehidupan autentik Malaysia adalah dengan mendaftar masuk ke kampung yang menyediaka­n penginapan inap desa.

Jelas Musa, menerusi kaedah itu pelancong dapat pengalaman menyertai aktiviti tradisiona­l dan harian keluarga seperti menanam padi, mencanting batik, bermain alat muzik tradisiona­l, menyertai tarian asli serta menonton wayang kulit.

Selain itu, katanya kepelbagai­an bangsa dan budaya di Malaysia menjadi tarikan utama pelancong merasai pengalaman kebudayaan unik seperti menyertai festival perayaan dan makanan tradisonal.

“Pelancong mahukan kenangan yang tidak dapat dilupakan menerusi pengalaman di Malaysia berbanding hanya melawat tempat menarik,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia